Berita
Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Kesilapan memilih kelab sukan pada awal pembabitan tidak menghalang Ivy Olivera Donny daripada merangkul pingat emas acara kata individu wanita bawah 21 tahun (B-21) pada Kejohanan Kadet, Remaja dan B-21 Asia 2026 di Amman, Jordan pada 10 Sept lepas.
Atlet berusia 20 tahun itu berkata penglibatannya dalam sukan itu bermula ketika beliau berusia tujuh tahun, yang pada awalnya berhasrat mendaftar sebagai ahli kelab taekwondo di Sekolah Rendah St Joseph, Penampang sebelum menyedari ia adalah kelab karate selepas menyertai latihan pertama.
“Apabila bercerita dengan ibu bapa, mereka menggalakkan saya meneruskan latihan memandangkan kelengkapan telah dibeli. Apabila dikenang semula, ini mungkin aturan takdir terbaik daripada Tuhan untuk saya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ibu bapanya menjadi sumber kekuatan yang sanggup berkorban demi memastikan impiannya dalam arena sukan karate tercapai.
Pada kejohanan di Jordan dari 8 hingga 11 Sept lepas, anak sulung daripada empat beradik itu mendominasi pusingan akhir untuk menewaskan wakil Iran Ailin Baharijavadhesari 4-1, sekali gus merangkul pingat emas.
Atlet karate remaja kebangsaan yang kini menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu berkata detik berada di atas podium ketika lagu Negaraku berkumandang menjadi pengalaman yang akan dikenang sepanjang hayat.
“Sejujurnya, saya terkejut kerana menyangka saya telah kalah berikutan peserta Iran meraikan kejayaan di gelanggang sebelah sebelum pengumuman skor sebenar, sekali gus membuatkan saya berasa lega dan bangga atas kemenangan ini,” katanya.
Ivy Olivera berkata kejayaan di Jordan itu mempunyai makna tersendiri selepas sekadar meraih pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) lepas, yang menjadi pencetus untuk bangkit meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
“Saya tidak dapat membawa pulang pingat emas untuk Sabah tetapi saya berharap pingat ini dapat membuatkan rakyat Sabah bangga,” katanya yang menjalani latihan intensif dua sesi sehari dan enam kali seminggu bagi menghadapi kejohanan berkenaan.
Dari segi disiplin, beliau mengakui latihan itu menuntut persediaan mental dan fizikal yang tinggi bagi memastikan setiap pergerakan tepat secara teknikal serta mengekalkan fokus ketika beraksi di gelanggang.
Ivy Olivera ketika mengimbau penglibatannya bagi kategori B-21 buat kali kedua berkata pengorbanan menjalani latihan intensif sangat berbaloi biarpun perlu berdepan kesakitan serta kecederaan.
“Latihan setiap hari memang mencabar dengan kecederaan menjadi perkara biasa manakala berpisah jauh daripada keluarga serta berdepan cabaran kewangan menuntut saya untuk cepat berdikari,” katanya.
Beliau kini kembali menjalani latihan di Bukit Jalil bagi memperkemas teknik kata serta memberi tumpuan pada kejohanan antarabangsa akan datang kerana menganggap kejayaan di Jordan bukan pengakhiran perjuangannya.
Ivy Olivera turut menasihati atlet muda di Sabah agar tidak mudah berputus asa, sentiasa berusaha bersungguh-sungguh, mengekalkan integriti serta rendah diri dalam mengejar impian.
Beliau merumuskan kejayaan manis di Jordan itu dalam tiga perkataan berharga iaitu sabar, iman dan ‘onsoi’ yang bermaksud baik atau bagus dalam bahasa Murut, namun ia sering digunakan sebagai ungkapan harian dalam kalangan masyarakat di Sabah.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu
- Individu Buat Jenaka Mengenai Paderi Wajib Mohon Maaf - Dr Akmal