Berita

Kemaskini: 11/09/2026 05:40 PM

PM Anwar Mahu Segerakan Usaha Bina Kembali Kehidupan Mangsa Kebakaran Di Numbak

Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agar dipercepatkan usaha bagi memastikan keluarga yang kehilangan tempat berteduh akibat kebakaran di Numbak, kembali membina kehidupan dalam keadaan yang lebih selamat dan bermaruah.

Beliau berkata anak-anak yang terkesan dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga kampung pada 30 Ogos lepas juga perlu dipastikan dapat segera kembali ke sekolah dan meneruskan kehidupan seperti sediakala.

"Hati saya amat tersentuh tatkala dimaklumkan tragedi ini turut meragut nyawa tiga kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun.

Kredit: Laman Facebook Anwar Ibrahim

"Saya dan Azizah (isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) merakamkan salam takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa, dan semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan serta ketabahan untuk melalui ujian yang amat berat ini," katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni 111 ketua isi rumah terjejas akibat tragedi melibatkan tiga kampung itu.

Bagi meringankan beban mangsa, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan bantuan khas kewangan RM1,500 serta sumbangan kotak makanan kepada setiap ketua isi rumah terjejas.

Anwar kemudian berlepas ke New Delhi, India bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.

-- BERNAMA