Berita
Usahawan Sabah Terima Geran SME-UP Sebanyak RM230,000
KOTA KINABALU, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 23 usahawan tempatan Sabah menerima Geran SME-UP berjumlah RM230,000, bagi membantu menambah baik pembungkusan dan pelabelan produk, sekali gus meningkatkan daya saing perniagaan mereka di pasaran.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata setiap usahawan diperuntukkan geran bernilai RM10,000, menerusi inisiatif kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan kualiti produk dan mengembangkan perniagaan tempatan.
“Walaupun dari segi nilainya bantuan ini mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, namun tiada langkah besar yang tidak bermula daripada langkah kecil dan tiada kejayaan besar yang tidak bermula daripada usaha kecil,” katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan geran itu di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berharap, penerima geran berkenaan terus berjaya serta menjadi pendorong dan inspirasi kepada golongan belia dan graduan, untuk menceburi bidang keusahawanan.
Ewon turut menyampaikan penghargaan kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) serta Pengarahnya Siti Nur’Ain Abdullah, atas komitmen berterusan merangka pelbagai inisiatif bagi memajukan usahawan tempatan.
Sementara itu, Siti Nur’Ain berkata bantuan berkenaan bertujuan membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memperkukuh keusahawanan, meningkatkan produktiviti serta meluaskan peluang perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Beliau turut menggesa pembekal yang dilantik, supaya membekalkan peralatan dan kemudahan pembungkusan yang berkualiti serta menarik, agar produk usahawan tempatan lebih berdaya saing di pasaran.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu