Berita
PM Anwar Pengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 Di Sabah Jumaat Ini
KOTA KINABALU, 7 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini pada Jumaat ini, dengan Sabah berperanan sebagai tuan rumah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata mesyuarat, yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini itu turut dijangka dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
“Bagi makluman semua, pada Jumaat ini, 11 Sept, mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 akan diadakan dengan dipengerusikan Perdana Menteri, dihadiri oleh Premier Sarawak dan juga dikelolakan oleh Ketua Menteri Sabah.
“Sesi khas MA63 akan diadakan dan saya akan jawab perkara yang berkaitan. Saya bersedia untuk jawab nanti,” katanya ketika diminta mengulas isu berkaitan MA63 pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kolej Tingkatan Enam Prauniversiti Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mustapha berkata mesyuarat itu menjadi antara platform utama untuk membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan MA63 antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 merupakan antara mekanisme utama bagi membincangkan dan menyelaraskan perkara berkaitan hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak mengikut perjanjian tersebut.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Kerajaan Belum Tetap Lokasi Living Lab Ekonomi Altitud Rendah Di Sabah -- MITI
- SJA Cadang Perluas Skop Bantuan Tabung Kasih@HAWANA Untuk Saringan Kesihatan
- Sabah Terima 780 Lembu Pedaging Dari Australia, Tingkat Produktiviti Ternakan
- MCMC Tambah Lebih 1,000 Titik Akses Wi-Fi Di UMS
- Tabung Kasih @ HAWANA Ringankan Beban, Tingkat Motivasi Pengamal Media