Berita
SIE 2026 Tarik Penyertaan 15 Negara, Perkukuh Sabah Sebagai Pasaran Global
KOTA KINABALU, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 15 negara menyertai Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2026, sekali gus mencerminkan keyakinan dan minat komuniti perniagaan antarabangsa terhadap negeri itu sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri Datuk Ewon Benedick berkata penyertaan antarabangsa itu turut memperkukuh aspirasi SIE 2026 menerusi tema Sabah-Your Gateway to Global Opportunities.
Beliau berkata selain Malaysia, negara-negara yang menyertai SIE 2026 ialah Australia, Brunei, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.
“Penyertaan antarabangsa ini memberi petunjuk kukuh minat yang semakin meningkat terhadap Sabah sebagai destinasi perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan.
“SIE 2026 bukan sekadar sebuah pameran tetapi platform untuk kita menghubungkan pasaran, membina kerjasama, mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian SIE 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Ewon yang juga Pengerusi Utama Penganjur SIE 2026 berkata ekspo itu menyediakan 300 reruai dengan kira-kira 35 peratus melibatkan pempamer antarabangsa, termasuk daripada rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
“Kira-kira 10,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung dijangka menghadiri pameran utama SIE 2026 selama tiga hari yang berakhir Ahad ini, dengan sasaran potensi jualan serta transaksi perniagaan sehingga RM10 juta,” katanya.
Ekspo itu menjadi satu platform kepada usahawan tempatan Sabah untuk memasarkan produk dan perkhidmatan serta meneroka potensi kerjasama perdagangan dengan delegasi dari luar negara.
Terdahulu, ketika berucap, Ewon berkata nilai sebenar SIE 2026 bukan hanya terletak kepada jumlah pempamer atau pengunjung tetapi hubungan dan kerjasama perniagaan yang berjaya diwujudkan menerusi platform itu.
Beliau berkata Sabah mahu meletakkan kedudukannya sebagai pintu gerbang ke Borneo, jambatan kepada BIMP-EAGA dan platform kepada perniagaan untuk mengakses pasaran serantau serta antarabangsa.
Antara program utama SIE 2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Industri Halal BIMP-EAGA ketiga yang menghimpunkan kira-kira 300 delegasi bagi membincangkan peluang perdagangan, pelaburan dan perkembangan ekonomi halal.
Turut dianjurkan program Sabah International Business Luncheon Talk yang menampilkan Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah berkongsi pengalaman kepimpinan dan perjalanan perniagaannya kepada kira-kira 700 peserta.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu