Berita

Kemaskini: 03/09/2026 03:39 PM

Sabah Mahu Jadi Gerbang Perniagaan Serantau, Luas Akses Ke BIMP-EAGA, ASEAN - Hajiji

Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Sabah berhasrat menjadi gerbang perniagaan serantau dengan menjadikan negeri itu sebagai platform kepada pelabur, usahawan dan syarikat tempatan meneroka peluang baharu merentasi Borneo.

Aspirasi itu termasuk memperluas jaringan perniagaan serta membuka akses ke pasaran Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), ASEAN dan pasaran global.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri mahu pelabur dan pemimpin perniagaan dari luar melihat Sabah bukan sekadar sebagai sebuah pasaran, sebaliknya sebagai platform untuk mewujudkan peluang baharu.

“Pada masa yang sama, kita mahu para pelabur dan pemimpin perniagaan dari luar Sabah melihat negeri ini bukan sekadar sebagai sebuah pasaran, tetapi sebagai platform untuk mewujudkan peluang baharu merentasi Borneo, BIMP-EAGA, ASEAN dan seterusnya.

“Aspirasi kini adalah untuk Sabah menjadi gerbang, tempat di mana idea bertemu modal, usahawan bertemu rakan kongsi, inovasi bertemu peluang dan perniagaan tempatan berhubung dengan pasaran serantau serta global,” katanya pada Sabah International Business Luncheon Talk (SIBLT2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong keusahawanan, menggalakkan pelaburan, memudah cara urusan perniagaan serta merancakkan inovasi dan pertumbuhan.

Beliau berkata usaha membina masa depan ekonomi Sabah bagaimanapun tidak boleh digalas kerajaan bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor perniagaan, pelabur, usahawan, ahli akademik dan komuniti.

Aspirasi itu, katanya turut merangkumi usaha memupuk kreativiti, daya tahan dan cita-cita keusahawanan dalam kalangan belia Sabah serta memperkasa mereka untuk menjadi usahawan, inovator dan pencipta perniagaan baharu.

Hajiji berkata semangat keusahawanan semakin penting ketika dunia melalui transformasi pesat, dengan teknologi mengubah model perniagaan tradisional, kecerdasan buatan (AI) membentuk semula cara bekerja dan perubahan iklim mempengaruhi keputusan pelaburan.

“Perubahan iklim mempengaruhi keputusan pelaburan, pasaran baharu sedang muncul dan pasaran tradisional menjadi semakin kompetitif. Dalam persekitaran seperti ini, kita tidak boleh sekadar menunggu peluang datang kepada kita. Kita mesti mempunyai visi dan inisiatif untuk menciptanya. Di sinilah Sabah mempunyai potensi yang amat besar,” katanya.

-- BERNAMA