Berita

Kemaskini: 03/09/2026 02:54 PM

Gempa Bumi Lemah 3.4 Magnitud Di Keningau - Arthur

Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional mengesan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada kedalaman 10 kilometer (km) di daerah Keningau pada 9.31 pagi tadi.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata berdasarkan analisis teknikal seismologi yang dikemas kini, pusat gempa bumi itu terletak pada koordinat 5.3 darjah utara dan 116.11 darjah timur, kira-kira 10 km di barat Keningau.

Beliau berkata gegaran akibat gempa bumi itu turut dirasai dengan nyata oleh penduduk di sekitar daerah berkenaan.

“Sehingga 11.30 pagi, MetMalaysia telah menerima sebanyak 463 laporan gegaran dirasai daripada orang awam berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rekod pemantauan analisis seismik menunjukkan Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini, termasuk pada 2019, 2023 dan 6 Okt 2024.

“Kejadian yang berlaku hari ini merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di rantau berkenaan,” katanya.

Arthur berkata MetMalaysia akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan di kawasan terbabit serta menyampaikan maklumat perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang atau panik kerana gempa bumi berkenaan berada pada magnitud lemah dan tidak menimbulkan ancaman tsunami.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar daerah Keningau susulan kejadian gempa bumi berkenaan.

Menurut kenyataan JBPM Sabah, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menjalankan pemeriksaan di Bangunan G-MART Keningau, Bangunan Perabot Apollo, Pejabat Kesihatan  dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Hasil pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan terbabit, selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan dilaporkan.

Pasukan bomba turut memberikan nasihat keselamatan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kerosakan atau kecemasan.

Operasi rondaan yang bermula pada 9.40 pagi itu ditamatkan pada 11.05 pagi selepas keadaan di lokasi didapati selamat dan terkawal.

-- BERNAMA