Berita
PADAN Berpotensi Jadi Pangkalan Data Induk Nelayan, Bantu Penyampaian Subsidi
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berpotensi menjadi pangkalan data induk bagi mengesahkan kelayakan nelayan sebelum penyaluran bantuan dan subsidi, termasuk pembelian minyak bersubsidi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata PADAN yang berteraskan konsep “Satu Pangkalan, Sejuta Manfaat” menyediakan platform pangkalan data berpusat untuk mendigitalkan rekod nelayan dalam persekitaran yang selamat dan bersepadu.
“Sistem rujukan tunggal ini akan membolehkan pemadanan data bagi menentukan kelayakan menerima bantuan dan subsidi, selain perancangan program pembangunan komuniti dilaksanakan secara telus, pantas dan berintegriti.
“Saya melihat PADAN mempunyai potensi besar untuk diintegrasikan secara terus dengan Aplikasi MyMinyak LKIM. Melalui integrasi ini, PADAN mampu bertindak sebagai pangkalan data induk bagi mengesahkan kelayakan nelayan sebelum sebarang transaksi pembelian minyak bersubsidi dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PADAN dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Mohamad berkata penggunaan PADAN juga dapat memudahkan pembuat dasar membuat keputusan berasaskan bukti dan fakta secara masa nyata, selain membolehkan peruntukan serta insentif dirancang berdasarkan keperluan sebenar komuniti nelayan di setiap jeti dan pangkalan.
Mengenai pertukaran MoU pada majlis berkenaan, beliau berkata kerjasama antara Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dengan Widegrowth Marine Products Sdn Bhd dan Metro Jaya Seafood Sdn Bhd, yang berpangkalan di Sandakan, Sabah, mencerminkan komitmen untuk memperkukuh jaringan bekalan hasil perikanan dari Sabah ke Semenanjung.
“Antara pendekatan utama kerjasama ini ialah pembekalan hasil perikanan yang diproses dan dibekukan menggunakan kaedah pembekuan cepat separa individu (IQF).
“Teknologi ini dapat memastikan kualiti, kesegaran dan mutu asal ikan dari perairan Sabah dikekalkan sepanjang rantaian pengangkutan rentas laut ke pasaran Semenanjung,” katanya.
Mohamad berkata sumber tambahan dari Sabah juga mampu mempelbagaikan sumber ikan domestik, membantu menstabilkan harga dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.
Beliau berkata kerjasama itu turut memperkukuh peranan NEKMAT sebagai penghubung antara pengeluar tempatan, pemain industri dan pasaran peruncitan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu