Berita
Jerebu: Kerajaan Sabah Aktifkan PKOB Negeri Susulan IPU Hampiri 200
KOTA KINABALU, 2 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri serta PKOB peringkat daerah di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menghampiri paras 200.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Ketua Menteri turut dimaklumkan bahawa peningkatan IPU dipengaruhi pergerakan angin dan dijangka meningkat secara konsisten selagi tiada hujan di Kalimantan.
Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, kesemua kawasan Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu dikategorikan pada tahap Amaran 1A.
“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga, meningkatkan penguatkuasaan dan mempergiatkan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah,” katanya.
Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.
Beliau turut mencadangkan aktiviti rasmi kerajaan negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200, manakala aktiviti di dalam bangunan masih dibenarkan.
Kerajaan Negeri Sabah juga akan mengesyorkan supaya sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU 200 atau lebih ditutup dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Dicadangkan agar pelaksanaan solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan.
“Pada masa yang sama, rumah ibadat agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) lima stesen di Sabah mencatatkan IPU tahap tidak sihat setakat 3 petang ini.
Stesen Politeknik Kota Kinabalu merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 180, diikuti Keningau (177), Kota Kinabalu (174), Kimanis (171), dan Sandakan (135), manakala Tawau pada tahap sederhana (99).
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu