Berita

Kemaskini: 30/08/2026 07:45 PM

Politeknik Kota Kinabalu Catat IPU Tidak Sihat

KOTA KINABALU, 30 Ogos (Bernama) -- Sabah merekodkan satu kawasan kualiti udara tidak sihat iaitu Politeknik Kota Kinabalu setakat 5 petang tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar Sabah pada 5 petang menunjukkan satu stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 142.

Beliau berkata kawasan berkenaan mula mencatatkan bacaan melebihi 100 sejak jam 12 tengah hari, manakala lima kawasan lain masih mencatatkan status kualiti udara tahap sederhana iaitu Kota Kinabalu (97), Kimanis (95), Keningau (93),Tawau (79) dan Sandakan (78).

“Berdasarkan laporan oleh ASMC yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, mengesan dua titik panas di Tuaran dan Kota Belud,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata cerapan hari ini, tiada titik panas dikesan di lokasi sama apabila kebakaran telah dipadam sepenuhnya dan 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan  setakat ini.  

Nor Rashidah turut mengingkatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Menurut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan  kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM 1,000,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas  kesalahan melakukan pembakaran terbuka. 

“Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol 1-800-882727,” katanya.

-- BERNAMA

 

B