Berita

Kemaskini: 30/08/2026 02:16 PM

Teratak Gemilang: Mohd Halikin Warnai Rumah Dengan Semangat Merdeka

Seorang pemilik rumah menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila menghias rumahnya di Batu 15, Jalan Labuk di sini dengan warna Jalur Gemilang, sekali gus menjadikan kediaman berkenaan sebagai simbol kecintaan terhadap tanah air. Dikenali sebagai “Teratak Gemilang”, kediaman milik Mohd Halikin Angga, 68, itu bukan sekadar dihiasi dengan warna Jalur Gemilang tetapi turut menampilkan koleksi potret bersejarah pemimpin negara. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Arjasneh Ahmad

SANDAKAN, 30 Ogos (Bernama) -- Seorang pemilik rumah menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila menghias rumahnya di Batu 15, Jalan Labuk di sini dengan warna Jalur Gemilang, sekali gus menjadikan kediaman berkenaan sebagai simbol kecintaan terhadap tanah air.

Dikenali sebagai “Teratak Gemilang”, kediaman milik Mohd Halikin Angga, 68, itu bukan sekadar dihiasi dengan warna Jalur Gemilang tetapi turut menampilkan koleksi potret bersejarah pemimpin negara.

Seorang pemilik rumah menzahirkan semangat patriotik dengan cara tersendiri apabila menghias rumahnya di Batu 15, Jalan Labuk di sini dengan warna Jalur Gemilang, sekali gus menjadikan kediaman berkenaan sebagai simbol kecintaan terhadap tanah air. Dikenali sebagai “Teratak Gemilang”, kediaman milik Mohd Halikin Angga, 68, itu bukan sekadar dihiasi dengan warna Jalur Gemilang tetapi turut menampilkan koleksi potret bersejarah pemimpin negara. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dengan wang dan kudrat sendiri, beliau mencelup berus ke dalam cat berwarna merah, putih, biru dan kuning sehingga sedikit demi sedikit rumah itu berubah wajah dan akhirnya lahirlah Teratak Gemilang, sebuah kediaman yang bukan sahaja mencuri pandangan malah mengundang orang ramai berhenti sejenak untuk mengenang erti kemerdekaan.

Mohd Halikin berkata cetusan idea mengecat rumah kayu itu dengan warna dan lambang Jalur Gemilang bermula pada 2004 didorong rasa kasih terhadap negara serta penghargaan kepada ibu bapanya yang pernah melalui zaman penjajahan.

“Saya sedih tatkala bendera terpaksa dikutip dan disimpan semula selepas bulan sambutan, lebih terkilan bila melihat banyak bendera menyembah bumi ditiup angin dan tercicir daripada kenderaan,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak.

Kediaman unik itu menampilkan bumbung berwarna biru pekat yang dihiasi lambang bulan sabit serta bintang 14 bucu kuning keemasan manakala struktur dindingnya gagah berjalur merah dan putih, selain Jalur Gemilang turut berkibar megah di kawasan rumahnya.

Melangkah ke ruang dalaman Teratak Gemilang, pengunjung disajikan dengan galeri mini yang menempatkan susunan koleksi potret rasmi pemimpin utama negara.

Ruang tamu rumah itu dihiasi potret rasmi Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri Sabah serta barisan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga kepimpinan terkini.

Pemilik rumah Mohd Halikin Angga melihat koleksi potret pemimpin negara yang menghiasi dinding ruang tamu rumahnya di Batu 15, Jalan Labuk di sini. Ruang tamu rumah itu dihiasi potret rasmi Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri Sabah serta barisan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga kepimpinan terkini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara koleksi paling bernilai bagi dirinya ialah foto bersejarah pertemuan Tunku Abdul Rahman bersama 20 pemimpin Borneo Utara pada 1961 berhubung rancangan pembentukan Persekutuan Malaysia.

Gambar berkenaan ditemui secara tidak sengaja dalam keratan akhbar ketika beliau dalam penerbangan menunaikan umrah pada 2005 sebelum meminta izin kru kabin untuk membingkaikannya.

Semangat patriotisme usahawan itu turut disemat dalam salasilah keluarganya apabila tiga daripada tujuh anaknya dinamakan sempena tokoh serta negarawan terkemuka tanah air.

Anak sulung dan anak keduanya masing-masing dinamakan sempena Tun Dr Mahathir Mohamad serta Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala anak keenamnya dinamakan Nur Zahirah sempena mantan Permaisuri Agong.

“Nama bukan sekadar panggilan tetapi harapan agar generasi pewaris negara sentiasa mengenang jasa tokoh terdahulu,” katanya.

Hari ini, setelah lebih dua dekad, Teratak Gemilang terus berdiri teguh di Batu 15 dan sentiasa menjadi tarikan yang sering disinggahi orang ramai untuk mengabadikan gambar kenangan, khususnya pada Bulan Kebangsaan.

Mohd Halikin berkata beliau tidak akan mengubah warna rumah berkenaan agar warna Merdeka itu kekal menyerikan kediamannya dan semangat cinta akan tanah air terus tersemat dalam jiwanya.

Beliau juga berharap Teratak Gemilang itu terus menjadi sumber inspirasi dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah, terutama sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM).

-- BERNAMA