Berita

Kemaskini: 30/08/2026 03:33 PM

KEMAS Gilap Bakat Cilik Sabah, Perkasa Ekonomi Wanita

Sebahagian kanak-kanak Tabika KEMAS mengambil bahagian dalam persembahan Bicara Berirama menarik perhatian orang ramai pada program Alpha Gen Talent@KEMAS peringkat negeri baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Rohana Nasrah

KENINGAU, 30 Ogos (Bernama) -- Dari langkah pertama seorang kanak-kanak mengenal erti keberanian, hinggalah kepada tangan seorang ibu yang gigih menjana pendapatan untuk keluarga, jasa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus dirasai, merentasi generasi dan mengubah kehidupan.

Daripada membentuk keyakinan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun, hinggalah membekalkan kemahiran yang membolehkan golongan dewasa menjana pendapatan, KEMAS terus memainkan peranan penting memperkasa masyarakat dan keluarga di Sabah.

Kanak-Kanak Tabika KEMAS dari seluruh Sabah yang berhimpun di Kompleks Sukan Keningau mengambil bahagian dalam perlawanan bola sepak pada program Alpha Gen Talent@KEMAS peringkat negeri baru-baru ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kisah konduktor cilik Mohd Zulfahrezal Mohd Izzat, 6, dan Anne Albert, 52, yang kini memperoleh pendapatan menerusi hasil anyaman, manik dan jahitan, memperlihatkan bagaimana usaha KEMAS diterjemahkan dalam bentuk yang paling dekat dengan rakyat, dengan mencipta peluang demi kesejahteraan rakyat.

Mohd Zulfahrezal merupakan antara 275 kanak-kanak Tabika KEMAS dari enam zon yang berhimpun di Kompleks Sukan Keningau, bagi mengetengahkan bakat serta merebut peluang mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada Oktober ini.

Program itu menjadi wadah membina keyakinan, keterampilan dan potensi kanak-kanak selaras dengan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM) bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, selain menyokong pembentukan Generasi MADANI yang berilmu, bersahsiah dan berpegang pada nilai murni.

Anne Albert, 52, dari Kampung Bingkor Keningau, kini meraih pendapatan menerusi penghasilan kraf anyaman, manik, dan jahitan. Kejayaan beliau membuktikan keberkesanan usaha KEMAS dalam mendekati masyarakat dan mencipta peluang demi kesejahteraan rakyat. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Zulfahrezal  tampil yakin sebagai konduktor cilik dalam persembahan Bicara Berirama, meskipun mengakui jantungnya “macam mahu jatuh” sepanjang 10 minit persembahan.

“Best. Bila masuk sekolah rendah nanti, saya mahu ikut lagi aktiviti macam ini sebab menarik dan ada kawan-kawan,” katanya kepada Bernama selepas persembahan pada program Alpha Gen Talent@KEMAS peringkat negeri baru-baru ini.

Guru Tabika KEMAS Nurhayati Lahanno, 45, berkata pendedahan kepada aktiviti seperti itu membantu kanak-kanak menjadi lebih matang, berdikari, bekerjasama dan berani, manakala guru Tabika KEMAS Kampung Kikiran, Keningau, Melissa Saidin, 37, melihat peningkatan ketara dalam keyakinan dan keberanian anak muridnya.

Guru Tabika KEMAS Nurhayati Lahanno, 45, yang ditemui BERNAMA pada program Alpha Gen Talent@KEMAS peringkat negeri baru-baru ini. Beliau berkata pendedahan kepada aktiviti seperti itu membantu kanak-kanak menjadi lebih matang, berdikari, bekerjasama dan berani. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, Pengarah KEMAS Sabah Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata pembangunan kanak-kanak berusia lima dan enam tahun, tidak seharusnya tertumpu kepada akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembentukan karakter dan sahsiah.

Beliau berkata program Alpha Gen Talent@KEMAS yang merupakan kesinambungan Hari Potensi KEMAS sejak lebih 20 tahun lepas, menyediakan ruang kepada kanak-kanak mengembangkan potensi menerusi pelbagai aktiviti termasuk futsal, bola jaring, Kids Athletics, Huffaz Cilik, Bicara Berirama, Digital Hero dan e-Sukan.

Sementara itu, bagi Anne hanya bermula dengan status WhatsApp, wanita itu kini mampu menjana pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan menerusi kemahiran anyaman, manik dan jahitan yang dipelajarinya dalam kelas kemahiran KEMAS sejak 2023.

Anak jati Kampung Bingkor, Keningau itu pada awalnya sekadar mahu menimba kemahiran, namun hasil tangannya mula mendapat tempahan daripada keluarga dan rakan-rakan, sebelum berkembang kepada pelanggan termasuk dari Semenanjung.

“Sebelum ini, saya tidak mempunyai apa-apa kemahiran. Selepas mengikuti kelas KEMAS, sedikit sebanyak saya tahu tentang menjahit, membuat manik dan menganyam bakul. Kemahiran ini membantu saya menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi keluarga,” katanya.

Dengan modal sekitar RM100, Anne berkata hasil anyaman sahaja boleh memberikan pulangan RM300 hingga RM400, manakala gabungan ketiga-tiga kemahiran itu mampu menghasilkan sehingga RM800 sebulan.

Berkongsi kisah sama Norfaezah Ghani, 41, yang mula mempelajari kraftangan manik awal tahun ini sebagai hobi, sebelum menerima tempahan selepas berkongsi hasilnya menerusi aplikasi WhatsApp. Kini, beliau memperoleh purata RM450 sebulan daripada jualan manik tradisi.

“Awalnya hanya sekadar hobi, tetapi apabila saya kongsi gambar hasil manik di WhatsApp, ramai berminat dan mula membuat tempahan. Di situ saya sedar kraftangan ini mampu menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fakhrul Azman berkata kemahiran seperti memasak, menjahit dan kraftangan bukan sahaja meningkatkan keupayaan diri, malah membuka peluang menjana pendapatan dan KEMAS Sabah kini mempunyai  8,000 peserta kemahiran dengan 240 guru kemahiran di seluruh negeri.

-- BERNAMA