Berita

Kemaskini: 20/08/2026 07:10 PM

Perkhidmatan BAS.MY Rekod 194,265 Penumpang Di Kota Kinabalu

Gambar Fail

KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) atau BAS.MY terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar bandar raya ini selepas merekodkan 194,265 penumpang setakat 10 Ogos lepas.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata perkhidmatan yang turut dikenali sebagai “Bas Pink” itu beroperasi sepenuhnya meliputi lapan laluan utama dengan 48 bas.

“Keutamaan LPKP adalah memastikan perkhidmatan berkenaan dapat membantu penduduk sekitar Kota Kinabalu, khususnya golongan muda meringankan beban kos sara hidup menerusi tambang rendah dan perkhidmatan yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata LPKP Sabah turut merancang penjajaran semula laluan melibatkan kawasan Tanjung Aru, Klinik Luyang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas serta Kepayan Ridge untuk memenuhi permintaan awam bagi perkhidmatan yang dilancarkan itu.

BAS.MY dilancarkan pada 27 Sept tahun lepas di sini sebelum fasa percubaan dimulakan kira-kira sebulan selepas itu dan semua lapan laluan utama beroperasi sepenuhnya bagi menghubungkan kawasan sekitar Kota Kinabalu pada 11 Ogos lepas.

Sementara itu, Mesyuarat Lembaga Bilangan ke-6 Tahun 2026 agensi itu yang dipengerusikan beliau semalam turut bersetuju memudah cara permohonan lesen Pembawa A dengan membenarkan pengusaha memohon lesen penggerak utama atau semi-trailer secara berasingan bagi merancakkan sektor logistik.

“LPKP Sabah juga meluluskan kebenaran kepada pengusaha bas sekolah untuk beroperasi ke luar daerah tanpa perlu memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) berkuat kuasa selepas pekeliling dikeluarkan,” katanya.

Phoong yang menggantikan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee sebagai pengerusi agensi itu berkata kebenaran berkenaan membolehkan pengusaha menerima tempahan terus daripada pihak sekolah untuk membawa pelajar serta warga pendidik sahaja.

-- BERNAMA