Berita
Vandalisme Telekomunikasi Di Sabah Catat Kerugian RM17.3 Juta
KOTA KINABALU, 20 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi direkodkan di Sabah membabitkan 257 tapak telekomunikasi akibat aktiviti vandalisme, kerosakan peralatan, dan kecurian komponen bagi tempoh 2025 hingga Jun tahun ini.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata insiden berkenaan mengakibatkan anggaran kerugian hampir RM17.3 juta berdasarkan statistik penyedia perkhidmatan.
Beliau berkata kerugian itu turut menjejaskan kehidupan harian rakyat apabila pelajar kehilangan akses pembelajaran, peniaga terputus transaksi digital, serta kesukaran berhubung ketika kecemasan.
"Sebab itu vandalisme telekomunikasi perlu dilihat sebagai isu kepentingan awam dan pembangunan negeri," katanya ketika berucap pada Program Taklimat "Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran" di sini, hari ini.
James berkata usaha menangani masalah berkenaan tidak boleh tertumpu di tapak kejadian semata-mata, sebaliknya perlu memutuskan keseluruhan rantaian pasaran yang mewujudkan permintaan terhadap barangan curian.
"Selagi ada pihak yang sanggup membeli kabel, bateri, logam atau komponen telekomunikasi yang diperoleh secara tidak sah, kegiatan ini akan terus menguntungkan pelakunya," katanya.
Mengulas aspek tindakan undang-undang, beliau mengingatkan bahawa pindaan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan merosakkan kemudahan rangkaian.
Beliau turut menggesa masyarakat agar membantu pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan menara atau kemudahan telekomunikasi dengan segera.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan infrastruktur digital selaras aspirasi Sabah Maju Jaya, khususnya dalam memperluas akses perhubungan di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa usaha membina infrastruktur baharu mestilah berjalan seiring dengan langkah melindungi aset sedia ada daripada terus dirosakkan.
James menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan sektor telekomunikasi sepatutnya digunakan untuk memperluas liputan dan kualiti rangkaian, bukannya dibazirkan bagi menggantikan peranti yang dicuri.
Beliau meluahkan keyakinan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, pihak industri, dan masyarakat berupaya memutuskan rantaian vandalisme demi kesejahteraan rakyat Sabah.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Pelaksanaan MA63 Perlu Diselesaikan Menerusi Rundingan Ikhlas, Konstruktif - Tun Musa
- Tersalah Pilih Kelab, Ivy Olivera Rangkul Emas Karate Asia
- AGC Bantah Permohonan Dua Lelaki Cabar Keputusan Hapus Subsidi Diesel
- Kerajaan Negeri Cadang Pindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu Ke Luar Pusat Bandar - Hajiji
- Warga Croatia Mungkin Didenda, Guna Laluan Tidak Rasmi Daki Gunung Kinabalu