Berita
Tujuh Syor SPRM Sabah Perkukuh Akauntabiliti, Pengurusan Pendahuluan Diri PNK
KOTA KINABALU, 14 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah membentangkan tujuh syor penambahbaikan berhubung pengurusan pendahuluan diri Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) supaya selaras dengan prinsip akauntabiliti dan tatakelola yang baik.
Pengarah SPRM Sabah Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata syor itu berkaitan program dan aktiviti PNK yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Sabah.
“Antara syor utama ialah mewujudkan akaun bank khas bagi penggunaan dan penerimaan wang pendahuluan diri atas nama jawatan Pengurus Besar; menyediakan garis panduan penggunaan pendahuluan diri yang diberikan oleh LKIM; serta menyedia dan mengemukakan laporan perbelanjaan sebenar beserta bil sokongan dalam tempoh tujuh hari selepas program selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Cadangan lain termasuk melaksanakan pemantauan dan semakan terhadap penggunaan pendahuluan diri setiap kali program PNK dijalankan, serta membuat pindaan pada Pekeliling Pendaftar Bil. 1 Tahun 2017-Perkara 3.1, yang menyatakan bahawa ‘pendahuluan diri’ merujuk kepada pengeluaran wang dalam bentuk cek atas nama Pengurus Besar PNK untuk perbelanjaan khusus projek kontrak LKIM atau pihak lain, dan tidak dibenarkan dimasukkan ke akaun peribadi Pengurus Besar.
Syor ini dilaksanakan susulan hasil siasatan awal SPRM Sabah yang mendapati wang pendahuluan diri bagi program PNK dimasukkan ke dalam akaun peribadi Pengurus Besar PNK.
“Kelemahan yang dikenal pasti ini boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa dan penyelewengan,” tambahnya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- 35,000 Mahasiswa Sabah Dijangka Terima Manfaat Subsidi Tiket Penerbangan
- Saingan Sengit 'Borneo Derby', Sabah FC Tekad Buru Kemenangan
- Education, Health Issues Discussed At MA63 Technical Committee Meeting - Fadillah
- Mesyuarat MTPMA63: Isu Pendidikan, Kesihatan Antara Dibincangkan - Fadillah
- Pencawang Baharu Beri Penduduk Kampung Takis Bekalan Elektrik Lebih Stabil - Armizan