Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 29/11/2026 12:56 PM

Yakin MADANI Negeri Sembilan: KDN Tawar Pertukaran Al-Quran Percuma

Yakin MADANI Negeri Sembilan: KDN Tawar Pertukaran Al-Quran Percuma

SEREMBAN, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menawarkan pertukaran al-Quran secara percuma menerusi Program Exchange Al-Quran bagi memastikan masyarakat terus menggunakan naskhah al-Quran yang sempurna, terpelihara dan mempunyai perakuan sah.

Inisiatif itu antara pengisian yang dibawakan KDN sempena Program Yakin MADANI Negeri Sembilan, khusus untuk membantu orang ramai menggantikan al-Quran yang rosak, lusuh atau tidak mempunyai perakuan dengan naskhah baharu tanpa sebarang bayaran.

Penguat kuasa KDN Negeri Sembilan, Mohd Suhaimi berkata menerusi program berkenaan, orang ramai boleh membawa al-Quran lama untuk ditukar kepada naskhah baharu secara satu dengan satu (one-to-one).

“Program ini menawarkan pertukaran al-Quran yang rosak, lusuh atau tidak mempunyai perakuan kepada naskhah baharu secara percuma.

“Orang ramai hanya perlu membawa al-Quran berkenaan untuk ditukarkan dan kemudahan ini diberikan tanpa sebarang bayaran,” katanya kepada Bernama pada program berkenaan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini.

Beliau berkata al-Quran dibekalkan menerusi program itu merupakan keluaran khas KDN dan telah melalui proses semakan oleh ahli Lajnah Tasheh Al-Quran yang terdiri daripada 33 orang ahli termasuk mufti.

Mohd Suhaimi berkata sambutan terhadap inisiatif itu menggalakkan apabila kira-kira 50 naskhah al-Quran lama yang rosak telah dibawa untuk ditukarkan setakat ini.

Inisiatif itu bukan sahaja memberikan peluang kepada masyarakat mendapatkan naskhah al-Quran baharu secara percuma, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menggunakan al-Quran yang mempunyai perakuan serta memastikan kesucian kitab suci itu terus dipelihara.

Program Yakin MADANI diadakan di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula hari ini, dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

Yakin MADANI turut membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat dengan wakil kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, menikmati kemudahan serta menyelesaikan urusan secara langsung.

Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan diterajui Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, menawarkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran interaktif serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung pada program berkenaan.

-- BERNAMA