Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 29/11/2026 12:47 PM

Yakin MADANI N. Sembilan: Set Kombo Telur, Ayam RM10 Jadi Tarikan

Yakin MADANI N. Sembilan: Set Kombo Telur, Ayam RM10 Jadi Tarikan

SEREMBAN, 29 Nov (Bernama) -- Set kombo telur dan ayam pada harga RM10 antara tarikan pengunjung ke Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan sempena program Yakin MADANI Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini hari ini.

Ketua Unit Pemasaran Segar FAMA Negeri Sembilan Norhisham Ibrahim berkata sebanyak 2,000 set kombo barangan keperluan asas ditawarkan sepanjang program dua hari bermula semalam, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan makanan dan barangan dapur pada harga murah.

Beliau berkata set berkenaan merangkumi kombo ayam bersama sayur-sayuran dan bawang serta kombo telur bersama sayur-sayuran, cili kering dan bawang, sekali gus menawarkan penjimatan sebanyak 50 peratus kepada pengguna.

"Sambutan amat menggalakkan dan orang ramai tidak putus-putus datang mendapatkan bekalan sejak semalam. Ada 2,000 set kombo (bagi tempoh dua hari) ditawarkan pada harga RM10 setiap satu berbanding nilai asal RM20," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang pengunjung, Mazlan Nordin, 54, berkata program itu merupakan inisiatif yang baik kerana memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan mentah pada harga lebih berpatutan, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah.

Beliau berkata program berkenaan wajar diteruskan pada masa akan datang kerana manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh pengguna, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

"Jualan Agro MADANI ini membantu meringankan beban pengguna. Ini satu program yang baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat memberi penjimatan kepada orang ramai," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta Shafahira Hair Johari, 42, berkata program berkenaan perlu dilaksanakan dengan lebih kerap bagi membolehkan masyarakat menikmati penjimatan secara berterusan.

Beliau berkata penawaran bahan mentah seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan barangan dapur pada harga lebih rendah amat membantu golongan suri rumah menguruskan perbelanjaan keluarga.

Dalam pada itu, khemah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) turut dipenuhi pengunjung yang datang seawal 9 pagi bagi membeli barangan dapur pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran.

Suri rumah, Zainab Abdullah, 43, berkata dia bersama suami datang awal untuk membeli keperluan harian seperti sabun, biskut, rempah masakan dan pelbagai barangan runcit kerana harganya murah dengan pengurangan hingga 35 peratus.

"Saya berharap program seumpama itu dapat diperluaskan dan dilaksanakan dengan lebih kerap di semua kawasan, termasuk daerah, bandar serta luar bandar bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna,” katanya.

-- BERNAMA