Berita Terkini
Permohonan Naik Taraf Jalan Utama Palong Tidak Diluluskan, Keutamaan Projek Lain - Nanta
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Permohonan menaik taraf Jalan Utama Palong (FT44) dari Seksyen 0 hingga Seksyen 9.10 di Negeri Sembilan tidak diluluskan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berikutan keutamaan diberikan kepada projek lain di negeri itu.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata permohonan kerajaan Negeri Sembilan bagi menaik taraf laluan sepanjang 33.79 kilometer (km) itu telah dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada agensi pusat untuk pertimbangan dan kelulusan.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan berkenaan tidak berjaya mendapat kelulusan dalam RP2 RMK13 berikutan kekangan keutamaan projek pembangunan di Negeri Sembilan.
“Sehubungan itu, disyorkan supaya cadangan projek yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Jempol dikemukakan semula kepada pihak kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri atau Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri dalam Rolling Plan yang akan datang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada terdapat perancangan untuk menaik taraf laluan itu yang disifatkannya sebagai sempit dan kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut.
Nanta berkata fokus utama KKR ketika ini adalah memastikan projek yang telah diluluskan di laluan FT44 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 dapat dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.
Beliau berkata projek berkenaan membabitkan kerja menaik taraf struktur Jalan FT44 dari Seksyen 10 hingga Seksyen 25 selain menaik taraf persimpangan Palong 7 dan 8 di Jempol.
“Projek ini sedang dalam peringkat perancangan dan telah selesai melalui makmal pengurusan nilai pada 7 hingga 9 Okt lepas,” katanya.
Sementara itu, Nanta berkata sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi pemasangan lampu jalan di 15 lokasi jalan persekutuan terpilih di daerah Jempol menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Beliau berkata pemasangan lampu jalan solar LED dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria termasuk di kawasan yang kerap berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat keadaan gelap seperti di persimpangan, selekoh dan jambatan, selain kawasan yang jauh daripada sistem grid elektrik serta sering mengalami masalah kecurian kabel dan vandalisme.
Katanya KKR turut mengambil maklum keperluan pemasangan lampu jalan di Jalan Serting Tengah-Keratong (FT11) dan Jalan Juasseh-Bahau (FT41) di Jempol, dengan kedua-dua laluan itu akan dinilai berdasarkan aspek keselamatan sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada masa depan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Urusan Pentadbiran Negeri Sembilan Berjalan Seperti Biasa - SUK
- BN Kemuka Satu Nama Calon MB Negeri Sembilan Kepada Istana
- Peletakan Jawatan MB Negeri Sembilan Perlu Perkenan Tuanku Muhriz - Istana
- Peletakan Jawatan Ismail Lasim: Beberapa Lokasi Jadi Tumpuan
- Ismail Lasim Letak Jawatan Menteri Besar N. Sembilan