Berita Terkini
Negeri Sembilan Warta Pemberhentian Mubarak, Maarof Dan Badarudin
SEREMBAN, 28 Okt (Bernama) -- Negeri Sembilan mewartakan pemberhentian Datuk Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-10 Datuk Mubarak Thahak@Dohak, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman ke-16 Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Menurut warta yang dikeluarkan pada 23 Okt itu, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Raja Norazli Raja Nordin menyatakan pemberhentian berkenaan mematuhi Perkara 16(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Warta itu turut memaklumkan pemberhentian Mubarak berkuat kuasa 13 Mei 2025, Maarof pada 31 Mei 2023 dan Badarudin pada 30 Julai lepas.
Pewartaan itu adalah dengan titah perintah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
"Dengan ini, sekalian dan setiap pegawai dan rakyat di dalam Negeri Sembilan dan sekalian mereka yang lain yang berkenaan hendaklah mengambil perhatian dan mengambil maklum di atas hal ini," menurut warta berkenaan.
Warta itu turut mengisytiharkan penzahiran Undang Luak Sungai Ujong ke-11 Datuk Kelana Petra Datuk Muhammad Faris Johari yang telah mengangkat sumpah dan beraku janji pada 27 Jun lepas, dan diperakukan di DKU pada 31 Julai mengikut cara dan aturan yang diperuntukkan dalam UUTKNS 1959 Fasal 16(1).
Selain itu, turut dimaklumkan ialah Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid dimasyhurkan dan dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau yang telah mengangkat sumpah dan beraku janji serta diperakukan di DKU pada tarikh sama.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Polis Tahan Tiga Lelaki, Rampas 376.2 Kg Sisik Tenggiling Di Negeri Sembilan
- Kilang Safran Di Negeri Sembilan Hasilkan 27 Peratus Cakera Brek Karbon Global
- 'Muzium Mini Telefon’ Warong Nora, Syurga Gulai Baung Salai
- Belanjawan 2027: Negeri Sembilan Fokus Keutamaan Rakyat, Penjawat Awam - Ismail
- Sembilan Individu Didakwa Jadi Ahli "Geng Yunaa"