Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 30/07/2026 08:49 PM

Dedah Laporan RCI TH Bukan Strategi PRN, Diputuskan Kabinet Secara Sebulat Suara - Fahmi

Dedah Laporan RCI TH Bukan Strategi PRN, Diputuskan Kabinet Secara Sebulat Suara - Fahmi
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) ketika ditemui media selepas Program Pentarama X Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat di Pejabat Penerangan Daerah Jempol hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Erwin Khairul Ahmad (kiri). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JEMPOL, 30 Julai (Bernama) -- Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sebahagian daripada strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya dibuat selepas dipersetujui secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keputusan itu bukan sahaja bagi membolehkan laporan berkenaan didedahkan kepada umum, malah memberi ruang untuk ia dibahaskan di Dewan Rakyat serta membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.

“Pendedahan ini bukan strategi untuk pilihan raya. Kita telah melalui proses, dibawa ke Jemaah Menteri, dibincangkan dalam Jemaah Menteri dan keputusannya dibuat secara sebulat suara.

“Keputusan itu bukan hanya untuk mendedahkan laporan tetapi juga untuk membahaskannya di Dewan Rakyat dan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Komuniti: Kempen Internet Selamat di Felda Palong 2 di sini hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Fahmi berkata berdasarkan taklimat oleh Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang juga anggota RCI berkenaan, Abdul Rashid pernah memohon supaya laporan itu tidak didedahkan sejurus dilantik sebagai pengerusi pada 2023 bagi memberi ruang membina semula keyakinan pendeposit.

“Beliau meminta kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya laporan itu ditangguhkan dahulu kerana kita mahu membina keyakinan dalam kalangan pendeposit dengan melaksanakan syor-syor yang terkandung dalam laporan itu.

“Hari ini kita tahu 75 peratus daripada syor dalam laporan RCI telah dilaksanakan, tetapi masih ada beberapa syor termasuk tindakan perundangan dan tindakan badan-badan penguat kuasa yang perlu disusuli,” katanya.

Fahmi berkata Perdana Menteri turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia serta pihak berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) akan mengambil tindakan susulan berdasarkan dapatan laporan.

Mengulas dakwaan bahawa laporan itu tidak menggunakan istilah “sakau”, Fahmi berkata sebagai laporan rasmi Suruhanjaya Siasatan Diraja, dokumen berkenaan menggunakan istilah perundangan yang sesuai seperti rasuah dan bukannya bahasa harian.

Beliau turut merujuk dapatan mengenai amalan creative accounting yang didakwa berlaku di TH melibatkan rekod kerugian RM1.4 bilion pada 2017, namun angka tersebut diubah sehingga menggambarkan institusi berkenaan memperoleh keuntungan RM3.4 bilion.

“Memang ada disebut mengenai rasuah selain laporan polis dan SPRM juga (ada) dibuat. Sekarang terpulang kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan mengambil tindakan sekiranya ada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

“Dapatan siasatan menunjukkan perkara itu bukan hanya berlaku pada 2017 tetapi sejak 2014 lagi. Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.

-- BERNAMA