Berita Terkini
Saya Kerja Keras Sebab Mahu Malaysia Jadi Negara Contoh - PM Anwar
NILAI, 29 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau terus bekerja keras tanpa mengenal penat lelah semata-mata mahu mengangkat martabat Malaysia sebagai sebuah negara contoh di rantau ini menerusi pentadbiran yang berintegriti dan berteraskan khidmat kepada rakyat.
Beliau berkata meskipun masih terdapat pelbagai kelemahan dan isu yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya, kerajaan akan terus berusaha memperbaiki mutu pentadbiran demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mentadbir sebagai orang tua tapi saya kerja macam orang muda... saya kasih pada negeri ini, saya nak angkat martabat, saya nak jadikan Negeri Sembilan dan Malaysia negara contoh di rantau ini tapi kita kena kerja kuat.
“Kita dah buat sedaya upaya kita... cukup? Belum…saya orang pertama yang mengaku, mohon maaf kalau ada apa-apa kekurangan dan kelemahan sebab saya nak supaya negeri ini ditadbir dengan baik,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Kekal Harapan di sini malam ini.
Perdana Menteri juga berkata kejayaan sesebuah pentadbiran tidak diukur dengan dakwaan menyelesaikan semua masalah sebaliknya melalui kesungguhan memikul amanah secara jujur dan telus.
Mengambil contoh pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Anwar berkata masih terdapat beberapa isu yang memerlukan perhatian termasuk projek perumahan yang belum siap, pembaikan rumah golongan miskin serta kebajikan masyarakat Orang Asli dan India.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata kepimpinan kerajaan hari ini bekerja keras dengan ikhlas tanpa menyalahgunakan kuasa atau mengaut kekayaan daripada hasil negara.
“Bukan saja dia (Aminuddin), saya pun kerja dari pagi sampai malam, tujuh hari seminggu, masih belum selesai semua masalah... tapi bezanya apa? Kita kerja ikhlas... saya tak ambil duit rakyat.
“Makilah saya berbakul-bakul, kecamlah saya di sana sini tetapi satu perkara yang saya akui, saya tak curi hak rakyat dan saya tak sombong,” kata beliau.
Anwar, yang juga Presiden PKR, turut menyeru rakyat Negeri Sembilan agar memberikan peluang sekali lagi kepada Aminuddin dan PH untuk terus mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Saya harap manfaatkan waktu ini sebaiknya untuk memilih agar kerajaan negeri ini dapat berjalan dengan baik... Aminuddin ini memang ada kelemahannya tetapi dia bersih, rajin bekerja.
“Negeri Sembilan pun sedang membangun... bagilah dia sambung (tempoh pentadbiran) kerana dia jalankan kerja dengan baik... kuat Negeri Sembilan, kuatlah Kerajaan Persekutuan,” kata beliau.
Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok