Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 29/07/2026 11:01 PM

Jangan Jadikan Politik Kaum Asas Untuk Raih Sokongan - PM

Jangan Jadikan Politik Kaum Asas Untuk Raih Sokongan - PM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Sesi Ramah Mesra Bersama Komuniti India di sebuah hotel. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan politik berasaskan kaum sebagai landasan bagi meraih sokongan rakyat kerana pendekatan sedemikian hanya akan memecah-belahkan masyarakat dan menjejaskan keharmonian negara.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman, agama atau kebencian kerana keamanan dan kestabilan negara bergantung kepada kemampuan semua kaum hidup bersama secara harmoni.

Anwar berkata prinsip kerajaan adalah mempertahankan hak orang Melayu namun pada masa sama, memastikan masyarakat Cina mendapat peluang yang adil serta komuniti India tidak dipinggirkan selain terus menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Negara ini tidak mungkin aman dan selamat kalau asyik membawa masalah antara kaum, kita mempertahankan pendekatan inklusif Kerajaan MADANI dalam mentadbir negara.

“Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu... tetapi kita juga mesti menerima hakikat bahawa untuk memastikan negara ini terus selamat, kita perlu merangkul semua kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PMX Bersama Dengan Komuniti India di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat India tempatan.

Perdana Menteri berkata pendekatan inklusif yang dibawa Kerajaan MADANI bagaimanapun menyebabkan kerajaan berdepan pelbagai persepsi dan serangan pihak yang membawa naratif berbeza.

“Di luar sana, ada pihak mendakwa kerajaan ini gagal menjaga orang Melayu kerana kononnya hanya menjaga masyarakat Cina dan India.

“Pada masa sama, ada pula yang bertanya mengapa masyarakat India masih menghadapi pelbagai masalah.

“(Hakikatnya) Segala dasar dan inisiatif kerajaan dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira kaum, bukannya atas pertimbangan politik atau sentimen perkauman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa selepas hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan, rakyat tidak seharusnya terus dipengaruhi dengan naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ketika berucap pada kempen PH di pekarangan premis Perniagaan Betaria meminta pengundi membuat keputusan bijak dengan memilih kepimpinan yang mengutamakan tadbir urus baik dan perpaduan kaum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Beliau berkata kestabilan dan kemajuan sesebuah negeri bergantung kepada tadbir urus yang telus serta keupayaan pemimpin untuk bekerjasama tanpa mengira latar belakang etnik manakala isu integriti dan pengurusan kewangan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan khazanah serta kekayaan negara tidak disalah guna.

"Sebab itu saya kata, kita nak Melayu yang baik, kita nak Cina yang baik, kita nak India yang baik. Baru boleh pakat, jaga (negeri) dengan baik... negara ini cukup bagi keperluan semua orang tetapi kalau semua mahu curi, mahu korup, ia tidak akan pernah cukup... jadi tolonglah, selamatkan negeri dan negara ini," katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta beberapa calon PH yang bertanding pada PRN berkenaan.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan hari pengundian melibatkan 867,151 pemilih biasa ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

 

 

Kata Kunci berkaitan