Berita Terkini
Amalan Sogokan Pengundi Perlu Ditolak, Tidak Sepatutnya Berlaku - Ahmad Zahid
SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Amalan sogokan kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 perlu ditolak dan tidak sepatutnya berlaku, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam perbuatan itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.
"Jika didapati benar dan jika ada bukti dan saksi, saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis untuk melakukan siasatan.
"Saya tidak fikir perkara itu sepatutnya berlaku apatah lagi jika ia dilakukan oleh pihak yang berwibawa, maka kita harus menolak amalan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Program Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Terdahulu, tular menerusi media sosial dakwaan terdapat parti politik melakukan sogokan bagi meraih undi sempena PRN Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata tiga kertas siasatan dibuka semalam berkaitan dakwaan kesalahan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan, termasuk satu kertas siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan kesalahan penyogokan.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok