Berita Terkini
PH Perhebat Kempen, Guna Siaran Langsung TikTok Dekati Pengundi Muda - Fahmi
SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan memperhebat gerak kerja kempen, termasuk mengadakan siaran langsung di platform TikTok selama lebih 24 jam bagi mendekati pengundi muda, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata semua calon yang bertanding di bawah PH akan terus berusaha bagi memastikan kemenangan gabungan itu, termasuk memenangi 16 kerusi ditandingi PKR bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya ini.
“Bagi mendekati pengundi muda, khususnya di kawasan yang ditandingi calon-calon PKR, kita akan melaksanakan pendekatan yang sedikit berbeza selain ceramah kelompok atau ceramah perdana.
“Bermula malam esok, pasukan kami akan mengadakan siaran langsung secara berterusan selama lebih 24 jam menerusi platform seperti TikTok. Semua calon, bukan sahaja PKR tetapi seluruh PH akan singgah untuk bersama-sama pempengaruh dan anak muda,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Negeri Sembilan yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Dalam pada itu, Fahmi berkata manifesto PH juga mengandungi beberapa inisiatif baharu, termasuk cadangan pemberian elaun kepada ketua-ketua adat sebagai pengiktirafan terhadap peranan dan khidmat bakti mereka kepada masyarakat.
Mengulas tentang dakwaan berhubung sogokan atau rasuah sepanjang tempoh kempen PRN ini, Menteri Komunikasi itu berkata PH tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk sogokan atau rasuah.
"Pakatan Harapan bukan parti yang mewah. Fokus calon-calon kami adalah kepada prestasi, keupayaan dan kemampuan masing-masing, termasuk calon Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun," katanya.
Media melaporkan polis membuka siasatan berhubung dakwaan cubaan menyogok pengundi pada PRN Negeri Sembilan selepas menerima laporan berkaitan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kes itu adalah antara tiga kertas siasatan baharu dibuka membabitkan kesalahan berkaitan pilihan raya mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selepas seorang lelaki berusia 29 tahun membuat laporan polis di Kuala Klawang, Jelebu.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok