Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 29/07/2026 04:11 PM

Orang Ramai Dipelawa Hadiri Kuala Pilah Berselawat, Meriahkan Jelajah Kekal Harapan

Orang Ramai Dipelawa Hadiri Kuala Pilah Berselawat, Meriahkan Jelajah Kekal Harapan

SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Orang ramai dipelawa menghadiri program Kuala Pilah Berselawat di Dataran Melang, Kuala Pilah, esok yang bakal menghimpunkan beberapa agamawan terkenal dari dalam dan luar negara.

Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) dalam kenyataan memaklumkan program itu akan menampilkan Sheikh Dr Khaleel Ismael Elias, Sheikh Mahmood Al Wasabi, Habib Nael Ben Taher dan Angham Anisah.

Selain itu, JPPH turut mengajak rakyat Negeri Sembilan memeriahkan program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan hari ini yang menampilkan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama barisan kepimpinan utama Pakatan Harapan (PH).

Menurut kenyataan itu, Anwar yang juga Pengerusi PH dijadualkan menghadiri tiga program utama, iaitu Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Taman Cempaka, Labu, sesi ramah mesra bersama-sama rakyat di Klana Resort Seremban dan Grand Finale Jelajah Kekal Harapan di Pusat Perniagaan Betaria, di sini.

“Program berkenaan merupakan kemuncak siri Jelajah Kekal Harapan yang berlangsung sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan telah menghimpunkan ribuan rakyat di seluruh negeri.

“Program ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat mendengar sendiri hala tuju, pencapaian serta komitmen Kerajaan MADANI dan PH dalam membangunkan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

JPPH memaklumkan sambutan yang diterima sepanjang siri jelajah itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap rekod pentadbiran kerajaan negeri serta komitmen Kerajaan MADANI dalam membawa pembangunan, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi kepada rakyat.

Sehubungan dengan itu, JPPH mengundang seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk hadir memeriahkan kedua-dua program sebagai manifestasi sokongan terhadap agenda “Kekal Harapan” demi masa depan negeri yang lebih maju, stabil dan sejahtera.

-- BERNAMA