Berita Terkini
Abdul Halim Santuni Petugas Media Di Pusat Media Kementerian Komunikasi
SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini menyantuni petugas media di Pusat Media Kementerian Komunikasi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau tiba di pusat media itu pada 12.15 tengah hari dan meluangkan masa hampir sejam meninjau kemudahan yang disediakan dalam membantu kelancaran tugas pengamal media sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata selain kemudahan pusat media utama di Seremban, terdapat 60 pusat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Negeri Sembilan yang menyediakan kemudahan, khususnya akses Internet yang laju dan stabil serta ruang bekerja dan rehat yang boleh dimanfaatkan oleh pengamal media.
“Bukan hanya untuk kemudahan komuniti setempat, petugas media juga boleh manfaatkan pusat itu di seluruh negeri sepanjang PRN, terutamanya di kawasan luar bandar termasuk di Port Dickson dan Kuala Pilah,” katanya kepada Bernama di pusat media itu di sini hari ini.
Abdul Halim berkata semua petugas NADI telah dimaklumkan supaya memberikan bantuan sewajarnya kepada pengamal media sepanjang tempoh pilihan raya itu termasuk jika terdapat keperluan atau perkara yang memerlukan tindakan segera.
“Pada PRN Johor, 110 pusat NADI di negeri itu dibuka untuk kemudahan pengamal media yang membuat liputan pilihan raya negeri tersebut dan kita menggunakan pendekatan sama di Negeri Sembilan,” katanya.
Kementerian Komunikasi sebelum ini memaklumkan tiga Pusat Media sempena PRN dibuka di Negeri Sembilan bagi memudahkan urusan liputan pengamal media sepanjang tempoh pilihan raya.
Pusat media itu beroperasi dari 17 Julai hingga 1 Ogos 2026 bermula 9 pagi hingga 7 malam.
Pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok