Berita Terkini
PRN NS: Calon PH Jeram Padang Manfaatkan Baki Tempoh Kempen Untuk Santuni Semua Pengundi
JEMPOL, 29 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang G. Manivannan telah menyantuni lebih 85 peratus pengundi di kawasan itu menerusi siri kempen turun padang.
Beliau yang juga Setiausaha Politik di Pejabat Presiden PKR berkata aktiviti kempennya berjalan mengikut perancangan setakat ini dengan baki tiga hari kempen sebelum hari pengundian 1 Ogos ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menyantuni semua pengundi.
"Sebenarnya saya mula menjalankan kempen sejak hampir tiga bulan lepas. Sepanjang tempoh kempen rasmi, saya dapat lihat maklum balas pengundi menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan. Majoriti kawasan telah kita masuk dan ada juga yang saya hadir beberapa kali bertemu penduduk setempat.
"Baki kawasan yang belum dilawati membabitkan beberapa lorong di taman perumahan serta kawasan pinggir yang terlepas pandang, kita akan atur kempen sesegera mungkin," katanya ketika ditemui Bernama pada program minum petang bersama-sama komuniti yang dihadiri Pengarah Komunikasi PH Datuk Seri Fahmi Fadzil di Felda Bukit Rokan Barat di sini malam tadi.
Beliau berkata semua jentera telah diberi taklimat supaya berkempen secara berdisiplin dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.
“Saya menggunakan pengalaman politik hampir 20 tahun untuk memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar dan mengelakkan kesilapan yang sering berlaku pada saat-saat akhir,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar.
Manivannan berkata beliau memfokuskan usaha menerangkan 10 teras tawaran yang dibawanya ketika bertemu pengundi meliputi tadbir urus bersih, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pembangunan belia dan wanita, pendidikan, perumahan mampu milik, pertanian moden, pelancongan, kesihatan serta penambahbaikan infrastruktur buat penduduk di DUN Jeram Padang.
Mengulas mengenai demografi pengundi di Jeram Padang yang merangkumi kira-kira 56 peratus pengundi Melayu, 33 peratus India, 10 peratus Cina dan selebihnya lain-lain, Manivannan berkata beliau dan jentera parti menetapkan jadual harian yang seimbang.
Katanya, langkah itu bagi memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang dapat disantuni secara adil.
"Kita ada formula kerja. Setiap hari jadual kita disusun mengikut nisbah masyarakat di sini. Kita pastikan ada kunjungan ke kawasan perumahan Cina, kampung Melayu, penempatan masyarakat India serta perkampungan Orang Asli.
"Malah, baru-baru ini kita turut mengenal pasti kawasan kediaman kecil seperti di Kampung Tasik Seri Pancor yang sebelum ini didakwa jarang dilawati mana-mana pemimpin politik. Pendekatan secara sentuhan peribadi seperti ini amat penting bagi memastikan tiada pengundi yang terpinggir," katanya.
DUN Jeram Padang menyaksikan penyandang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) ditentang Manivannan, Datuk R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia.
Pada PRN lepas, Mohd Zaidy mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 693 undi.
Berdasarkan daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini 4 Jun, Jeram Padang yang merupakan satu daripada empat DUN dalam Parlimen Jempol mempunyai 16,590 pengundi berdaftar.
Jeram Padang merupakan kawasan perladangan getah dalam daerah Jempol dan berada di laluan utama antara Bahau menuju ke Gemas dan Tampin di Negeri Sembilan.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok