Berita Terkini
PRN NS: Jadual Padat Menanti PM Anwar Di Negeri Sembilan Hari Ini
SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun ke Negeri Sembilan hari ini bagi memperhebat kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Anwar akan memulakan jadual dengan menghadiri majlis minum petang bersama-sama masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Jelebu, diikuti dengan program Temu Anwar di Dewan Pusat Dakwah Islamiah, Paroi.
Beliau kemudiannya dijadualkan menyertai Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat India di Klana Resort pada sebelah malam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut dijadualkan mengetuai dua acara Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan yang turut disertai barisan kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Program kemuncak kempen itu dijadualkan berlangsung di Betaria Business Centre, di sini pada 9 malam sebelum diteruskan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka di Nilai pada 10.30 malam.
Selain Anwar yang juga Presiden PKR, program itu akan turut disertai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang juga calon PH untuk DUN Chennah.
Yang turut dijangka hadir ialah Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari, Pengarah Komunikasi PH yang juga Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil serta calon-calon PH yang bertanding pada PRN berkenaan.
Kehadiran Perdana Menteri itu dijangka memperhebat lagi momentum kempen PH pada hari-hari terakhir sebelum tempoh berkempen tamat pada 11.59 malam, Jumaat ini.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN yang menyaksikan 16 calon daripada PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Amanah.
PRN itu menampilkan 103 calon merebut 36 kerusi DUN dengan pengundian bagi 867,151 pemilih biasa ditetapkan pada Sabtu ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok