Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 28/07/2026 11:40 AM

PRN NS: Calon Tinjau Pusat Pengundian Awal, Puas Hati Kelancaran Proses Undi Awal

PRN NS: Calon Tinjau Pusat Pengundian Awal, Puas Hati Kelancaran Proses Undi Awal

SEREMBAN, 28 Julai (Bernama) -- Calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini mengambil kesempatan meninjau proses pengundian awal di beberapa pusat mengundi di seluruh negeri yang berlangsung lancar pagi ini.

Di Port Dickson, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi menyaksikan sendiri proses pengundian awal di situ.

Beliau yang tiba pada 9 pagi turut beramah mesra dengan pegawai dan anggota polis yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

PRN NS: Calon Tinjau Pusat Pengundian Awal, Puas Hati Kelancaran Proses Undi Awal

“Alhamdulillah, pagi ini kita melihat pengundi telah ramai menjalankan tanggungjawab mereka, dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis di sini kerana memastikan proses demokrasi dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, di Jelebu calon Barisan Nasional (BN) DUN Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias turut meluangkan masa menyantuni pengundi awal di IPD Jelebu, kira-kira 8 pagi.

Sementara itu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom turut hadir meninjau proses pengundian awal yang melibatkan 979 anggota dan pegawai polis bagi DUN Temiang.

PRN NS: Calon Tinjau Pusat Pengundian Awal, Puas Hati Kelancaran Proses Undi Awal
Calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N12 Temiang, Datuk Leaw Kok Chan, beramah mesra bersama anggota pasukan keselamatan ketika meninjau suasana pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

Calon BN kerusi DUN Temiang Leaw Kok Chan turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi awal dalam kalangan anggota polis di pusat berkenaan.

Setakat 9.30 pagi, keadaan cuaca yang cerah di kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan turut memudahkan pergerakan pengundi dan petugas SPR, sekali gus membantu kelancaran proses pengundian awal.

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca di seluruh negeri dijangka cerah pada sebelah pagi, namun ribut petir diramalkan berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.

Sebanyak 38 pusat mengundi awal dibuka hari ini membabitkan 22,339 pengundi awal, terdiri daripada 16,884 anggota ATM dan pasangan serta 5,455 anggota PDRM dan pasangan.

Pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat mengikut lokasi dan jumlah pengundi berdaftar, dengan waktu penutupan antara tengah hari hingga 5 petang.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 melibatkan 889,490 pemilih berdaftar bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

Sementara itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau kelancaran proses pengundian awal bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Angkasaraya, Pangkalan Udara (PU) Sendayan, di sini.

Mohamad, yang juga calon BN bagi DUN Rantau pada PRN itu tiba kira-kira 10.30 pagi bagi melihat sendiri aliran pergerakan pengundi, termasuk di kaunter semakan pendaftaran.

Dewan Angkasaraya di Pangkalan Udara Sendayan itu menempatkan dua saluran membabitkan 1,114 anggota tentera dan pasangan masing-masing, dan jumlah berkenaan merangkumi 806 warga tentera darat dan tentera udara, manakala 308 lagi ialah pasangan mereka.

-- BERNAMA