Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/07/2026 10:19 AM

Dr Azizul Hakim Santuni Pengundi Dengan Khidmat Kesihatan Percuma

Dr Azizul Hakim Santuni Pengundi Dengan Khidmat Kesihatan Percuma
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi

Oleh Nursyabiha Sukri

SEREMBAN, 27 Julai (Bernama) -- Bukan sekadar membawa risalah ketika berkempen dari rumah ke rumah, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, turut memastikan stetoskop sentiasa di lehernya untuk menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengamal perubatan berusia 35 tahun itu berkata pendekatan berkenaan membolehkannya menyantuni pengundi dengan lebih dekat, terutama warga emas dan pesakit kronik, selain mendengar sendiri masalah kesihatan yang mereka hadapi.

Dr Azizul Hakim Santuni Pengundi Dengan Khidmat Kesihatan Percuma
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau Dr Azizul Hakim Mahdi meluangkan masa menziarahi warga emas Rahmah Hassan, 76, dalam siri kempen Ziarah Kasih "Dr Hakim Dr Rakyat" di Perumahan Kampung Felda Sendayan

"Sambil beramah mesra dan mendengar luahan hati rakyat, saya juga melakukan pemeriksaan kesihatan, menyemak ubat-ubatan serta memastikan pesakit terlantar tidak terlepas janji temu perubatan di hospital," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Azizul Hakim yang mempunyai sebuah klinik di Senawang berkata perkhidmatan menerusi Program Doktor Rakyat itu bukan sekadar gimik pilihan raya, sebaliknya kesinambungan usaha kebajikan yang telah dijalankannya sebelum ini.

Beliau berkata sekiranya diberi mandat oleh pengundi Rantau, bapa kepada lima cahaya mata itu berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan unit perubatan bergerak ke setiap kawasan perumahan dan kampung bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan asas.

Menyentuh mengenai visi dan misi pembangunan di DUN Rantau yang mempunyai kira-kira 34,831 pengundi, Dr Azizul Hakim berkata antara tumpuannya ialah memperkasakan ekonomi anak muda menerusi penubuhan hab industri kecil khusus untuk graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membina perniagaan seperti bengkel automotif dan industri pemprosesan makanan.

Bagi kawasan Sendayan pula, beliau mencadangkan inisiatif rumah mampu milik menerusi pembinaan 'Rumah Harapan' berharga antara RM150,000 dan RM200,000 khusus untuk generasi kedua dan ketiga Felda Sendayan yang masih belum mempunyai kediaman sendiri.

Selain isu perumahan, Dr Azizul Hakim turut menekankan keperluan memperkasakan pengangkutan awam, menambah sekolah baharu menerusi Kementerian Pendidikan (KPM), serta mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan mengusulkan penggunaan teknologi lampu isyarat pintar berteraskan kecerdasan buatan (AI).

Pada PRN kali ini, Dr Azizul Hakim berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Menteri Luar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, pesara tentera Rahman Hassan, 76, berkata generasi kedua dan ketiga Felda memerlukan lebih banyak rumah mampu milik di Sendayan yang selesa dan kondusif, sejajar dengan perkembangan pesat kawasan itu yang kini menjadi pilihan ramai penduduk, termasuk dari kawasan lain di Negeri Sembilan.

Asilah Samad, 37, berkata sebagai penduduk Sendayan, beliau menyaksikan kawasan itu berkembang pesat dari segi pembangunan perumahan, komersial dan perindustrian.

"Bagaimanapun, seiring dengan pertumbuhan itu, kemudahan awam juga perlu dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan penduduk, termasuk pelebaran jalan di kawasan yang sering mengalami kesesakan.

"Saya juga melihat lebih banyak kemudahan pendidikan seperti sekolah dan tadika diperlukan berikutan pertambahan penduduk di kawasan ini. Aspek keselamatan seperti pemasangan lampu jalan, kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta rondaan keselamatan juga perlu diberi perhatian," katanya.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Selasa ini, manakala hari mengundi ialah 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA