Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 11:50 AM

PRN NS: Anthony Loke Berdepan Calon BN Di DUN Chennah

PRN NS: Anthony Loke Berdepan Calon BN Di DUN Chennah
Calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Chennah, Anthony Loke (tiga, kanan), N.02 Pertang, Mohd Umry Abdul Khois (kiri), N.03 Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir (dua, kiri) dan N.04 Klawang, Bakri Sawir (tiga, kiri), berarak diiringi Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (kanan), dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Kuala Klawang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

JELEBU, 18 Julai (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berdepan saingan satu lawan satu bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah yang disandangnya sejak 2013 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Ahli Parlimen Seremban itu dicabar Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan Siow Kong Choon yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jelebu Abdul Rahim A Aziz mengumumkan perkara tersebut di Pusat Penamaan Calon, Dewan Besar Kuala Klawang di sini selepas proses itu tamat pada 10 pagi.

Terdahulu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan menyerahkan borang penamaan calon pada 9.05 pagi diikuti Siow empat minit kemudian.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Loke yang meraih 5,888 undi menewaskan pencabarnya, Rosmadi Arif daripada Perikatan Nasional dengan majoriti 2,200 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kali ini manakala undi awal pada 28 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA