Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 12:40 PM

PRN NS: Persaingan Tiga Penjuru Di Gemas, Satu Lawan Satu Di Gemencheh Dan Repah

PRN NS: Persaingan Tiga Penjuru Di Gemas, Satu Lawan Satu Di Gemencheh Dan Repah
Calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.34 Gemas (dari kiri), Azman Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ridzuan Ahmad (Perikatan Nasional) dan Siti Aishah Seman Othman (Pakatan Harapan), bergambar bersama selepas diumumkan layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana Tampin hari ini.

TAMPIN, 18 Julai  (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Wawasan, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tampin Mohd Fadhil Hassan, di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Perdana Tampin di sini selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

Penyandang kerusi DUN Gemas, Ridzuan Ahmad daripada Parti Wawasan, bakal dicabar oleh Siti Aishah Seman @ Othman (PH) dan Azman Abdullah (Bersatu).

PRN NS: Persaingan Tiga Penjuru Di Gemas, Satu Lawan Satu Di Gemencheh Dan Repah
Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Gemencheh (dari kiri), Abd Latif A Tambi daripada Pakatan Harapan (PH) dan Suhaimizan Bizar daripada Barisan Nasional (BN), bergambar bersama pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana Tampin hari ini.

Terdahulu, Ridzuan menyerahkan borang pencalonannya pada 9.03 pagi, diikuti Siti Aishah pada 9.06 pagi dan Azman pada 9.07 pagi.

Ridzuan memenangi kerusi DUN Gemas pada PRN lalu apabila bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) sebagai calon Bersatu.

Bagaimanapun, beliau baru-baru ini mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Wawasan sebelum sekali lagi dipilih mewakili PN untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.

PRN NS: Persaingan Tiga Penjuru Di Gemas, Satu Lawan Satu Di Gemencheh Dan Repah
Calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Repah (dari kiri) Koh Kim Swee daripada Barisan Nasional (BN) dan S. Veerapan daripada Pakatan Harapan (PH) bergambar pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Perdana Tampin hari ini.

Pada PRN ke-15, Ridzuan memperoleh 11,653 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abd. Razak Ab. Said, dengan majoriti 3,120 undi.

Sementara itu, kerusi DUN Gemencheh menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Suhaimizan Bizar (BN), dan Abd. Latib A. Tambi (PH).

Bagi kerusi N36 Repah saingan turut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Koh Kim Swee (MCA) dan penyandang S.Veerapan dari PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos ini manakala 28 Julai sebagai hari pengundian awal.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA