Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 10:13 AM

Pemimpin Tertinggi BN Iringi Calon Tanding PRN N.Sembilan

Pemimpin Tertinggi BN Iringi Calon Tanding PRN N.Sembilan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, hari ini. Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba bersama Datuk Jaffry Arifin tiba di Dewan Seri Rembau kira-kira 8.40 pagi sebelum mengiringi Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat memasuki pusat penamaan calon.

REMBAU, 18 Julai (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan ke pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO tiba bersama Mohamad pada 8.40 pagi di PPC di Dewan Seri Rembau bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandang sejak 2004.

Kesemua lapan PPC bagi PRN Negeri Sembilan mula dibuka serentak pada 9 pagi dan akan ditutup sejam kemudian.

Pemimpin Tertinggi BN Iringi Calon Tanding PRN N.Sembilan
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan ketika hadir ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Rembau hari ini.

Di Port Dickson, Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengiringi Datuk Mohd Faizal Ramli yang bertanding di DUN Linggi manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Ghani mengiringi Suhaimizan Bizar yang bertanding di DUN Gemencheh, Tampin.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mengiringi tiga calon BN iaitu Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan Chong Fui Ming yang bertanding di kerusi DUN Palong, Jeram Padang dan Bahau di Jempol.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pula mengiringi calonnya Mohd Fairuz Mohd Isa yang bertanding di DUN Serting, manakala Presiden Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) Rashid Ka mengiringi calonnya Dayana Dal yang bertanding di DUN Jeram Padang, Jempol.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA