Berita Terkini
PRN Negeri Sembilan: Tiga Timbalan Menteri Beri Suntikan Semangat Iringi Calon PH
SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau dan Seremban Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mendapat suntikan semangat apabila diiringi oleh tiga timbalan menteri ke pusat penamaan calon di sini, hari ini.
Tiga menteri berkenaan ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.
Kesemua calon, iaitu Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang), Siau Meow Kong (Rahang), Ahmad Faez Abdul Razak (Labu), Lee Kai Yet (Mambau) dan S. Mugunthan (Seremban Jaya) mula berarak bersama-sama tiga timbalan menteri berkenaan dan ribuan penyokong dari Restoran A&W Seremban menuju ke Dewan Majlis Bandaraya Seremban kira-kira 8.30 pagi.
Mereka kemudian berkumpul di padang berhampiran sebelum memasuki pusat penamaan calon bagi menyerahkan borang pencalonan secara berperingkat bermula dari 9.08 pagi.
Tan dan Siaw merupakan penyandang di kawasan masing-masing, manakala Ahmad Faez, Lee dan Mugunthan ialah muka baharu yang dipertaruhkan PH untuk menggantikan penyandang di kerusi berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian pada 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok