Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 17/07/2026 05:18 PM

Isu Banjir Di Linggi Bukan Modal Politik, Tindakan Kerajaan Jadi Ukuran - Aminuddin

Isu Banjir Di Linggi Bukan Modal Politik, Tindakan Kerajaan Jadi Ukuran - Aminuddin
Pengerusi Pakatan HARAPAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 17 Julai (Bernama) -- Isu banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Linggi tidak seharusnya dijadikan modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, sebaliknya rakyat perlu melihat kepada tindakan yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Linggi berkata kerajaan tidak pernah memandang ringan isu itu apabila dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan berkenaan telah diluluskan dan kini sedang dalam pelaksanaan hasil kerjasama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Projek ini mengambil masa untuk disiapkan, bukan boleh diselesaikan dalam masa sehari dua. Kami berharap ia dapat mengatasi masalah banjir yang berlaku di Linggi selepas ini.

“Saya berharap perkara ini tidak dijadikan isu kerana ia adalah isu lama dan masalah ini sudah pun diambil perhatian,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat hari ini.

Aminuddin berkata demikian bagi mengulas isu tular di media sosial berkenaan kawasan Linggi yang dikatakan kerap dilanda banjir sekiranya hujan berlarutan di Seremban.

Beliau berkata pendekatan kerajaan adalah menyelesaikan masalah melalui perancangan dan pelaksanaan projek infrastruktur, bukannya memainkan sentimen bagi meraih sokongan politik.

Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata gabungan itu mempertaruhkan rekod prestasi dan kesinambungan pembangunan sebagai tawaran kepada pengundi.

“Kami menawarkan perkhidmatan yang telah dibuktikan sepanjang mentadbir negeri ini. Apa juga strategi pihak lawan, saya serahkan kepada kebijaksanaan dan kematangan pengundi di Negeri Sembilan untuk membuat keputusan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan esok, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA