Berita Terkini
PH Tumpu Pendekatan Politik Prestasi Hadapi PRN N. Sembilan - Mohammed Taufiq
SUNGAI PETANI, 17 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) akan menumpukan pendekatan “politik prestasi” dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan mengetengahkan rekod pencapaian kerajaan negeri, berbanding menyerang parti lawan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Mohammed Taufiq Johari berkata fokus gabungan itu adalah menonjolkan kejayaan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan Exco dalam memacu pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
Mohammed Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pendekatan itu selaras dengan hasrat PH yang menawarkan rekod pentadbiran kepada rakyat untuk membolehkan pengundi membuat penilaian.
“Kita (PH) tidak mahu ikut campur dengan apa juga yang parti lain mahu lakukan. Fokus kita ialah menunjukkan prestasi Kerajaan Negeri Sembilan yang telah berjaya membawa kemajuan kepada negeri dan rakyat.
“Pendekatan kita pada pilihan raya kali ini bukanlah untuk mencari salah atau menghentam parti lain, sebaliknya menonjolkan segala pencapaian Kerajaan Negeri Sembilan di bawah PH,” katanya selepas merasmikan Program MADANI Kita di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan diikuti undi awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Berdasarkan daftar pemilih SPR yang dikemas kini hingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.
Sementara itu, Mohamed Taufiq berkata Program MADANI Kita yang bertemakan “Aktif Bersama Komuniti” menjadi platform kerajaan mendekati rakyat menerusi penyampaian pelbagai perkhidmatan, bantuan serta inisiatif secara terus kepada komuniti setempat, selain memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
“Hasrat kerajaan adalah untuk memastikan setiap inisiatif kerajaan sampai terus kepada rakyat. Aspirasi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ialah pemimpin dan menteri perlu turun padang bertemu rakyat bagi mendengar sendiri suara serta keperluan mereka.
“Kita mahu segala dasar dan inisiatif kerajaan bukan sekadar dasar yang dirangka di atas kertas, sebaliknya benar-benar mengambil kira hasrat serta suara rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Polis Terima 87 Laporan, 23 Kertas Siasatan Dibuka
- PRN Negeri Sembilan: SPRM Terima Empat Laporan
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Sebelah Pagi, Hujan Dan Ribut Petir Petang Esok
- PRN NS: Aminuddin Yakin Rekod Pentadbiran Mampu Yakinkan Pengundi Di Linggi
- PRN Negeri Sembilan: Tirai Kempen Berlabuh, Pengundi Tentukan Kerajaan Negeri Esok