Berita

Kemaskini: 28/11/2026 10:45 AM

PRN Sarawak: Kesemua 82 Pusat Penamaan Calon Ditutup 10 Pagi Ini

-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Kesemua 82 pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 ditutup tepat 10 pagi ini, menandakan berakhirnya tempoh sejam proses penyerahan borang pencalonan yang bermula 9 pagi.

Semua pihak kini menantikan pengumuman rasmi pegawai pengurus pilihan raya di setiap PPC untuk senarai calon yang layak bertanding, serta jumlah calon bertanding bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut dinantikan pastinya, kawasan manakah yang mungkin akan menyaksikan kemenangan tanpa bertanding.

Berakhirnya proses itu turut menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari, seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga 11.59 malam, 11 Dis.

Selain itu, SPR menetapkan 8 Dis sebagai tarikh pengundian awal, manakala hari pengundian berlangsung pada 12 Dis.

PRN kali ini menyaksikan 2,058,781 pengundi layak menunaikan tanggungjawab mereka, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/. 

-- BERNAMA