Berita

Kemaskini: 27/11/2026 06:12 PM

PKR Sabah Tolak Gesaan Tidak Bertanding Dalam Pilihan Raya

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- PKR Sabah menolak gesaan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya di negeri ini seperti keputusan yang dibuat PKR Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 negeri berkenaan.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Peto Galim berkata keputusan PKR di Sarawak dibuat atas pertimbangan politik di negeri itu, dan Jeffrey harus menghormati hak rakyat Sabah sekiranya beliau menjunjung autonomi politik negeri ini.

“Beliau (Jeffrey) juga harus menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan sendiri siapa yang layak mewakili mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peto berkata ketika ini masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai penyertaan PKR Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) memandangkan tarikh pilihan raya itu belum dimuktamadkan.

Beliau berkata keutamaan pimpinan parti buat masa ini adalah untuk melestari dan membangunkan negara serta memastikan hasil pembangunan dirasai rakyat.

Sebelum ini, Jeffrey dalam kenyataannya menggesa PKR mengambil pendirian sama seperti di Sarawak dengan tidak bertanding dalam PRU atau PRN Sabah.

Sementara itu, Peto berkata PKR Sabah ditubuhkan serentak dengan penubuhan parti pada peringkat nasional, malah negeri berkenaan turut memainkan peranan sejak awal dalam proses pembentukan parti berkenaan.

“Semangat ini mencerminkan pembentukan Malaysia yang turut melibatkan Sabah dan Sarawak sebagai pengasas bersama. PKR Sabah membawa agenda reformasi jelas melalui pentadbiran telus dalam mengurus peruntukan, cekap menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Peto berkata kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatukan pelbagai parti dalam Kerajaan MADANI dan kerjasama itu mewujudkan kestabilan politik untuk melaksanakan reformasi, manakala tatakelola baik membantu memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat.

Di Sabah, beliau berkata kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memperkukuh kestabilan politik dan membolehkan kerajaan negeri memberikan tumpuan kepada keperluan rakyat.

“Muafakat ini turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan terbaik dalam penyelesaian perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang sedekad lepas,” katanya.

-- BERNAMA