Berita
2,867 Pegawai, Anggota Polis Johor Siap Siaga Hadapi MTL
JOHOR BAHRU, 6 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2,867 pegawai dan anggota polis kontinjen Johor berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) – Op Banjir 2026/2027.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pelaksanaan operasi sepanjang musim tengkujuh meliputi penggunaan 827 aset jenis darat dan 2,477 jenis air, 119 penjana kuasa serta 7,207 khemah C-Tent.
Beliau berkata aset khusus turut disediakan bagi operasi menyelamat dan pengurusan bencana termasuk 73 kereta, 49 pacuan empat roda, 44 bot, 40 enjin bot, 29 treler bot, tiga jet ski serta dua aset amfibia.
"Kita juga memberi penekanan kepada kesiapsiagaan berteraskan risikan dan operasi; penyelarasan antara agensi; keselamatan dan ketenteraman awam serta tindakan pantas bagi memastikan keberkesanan tindakan di lapangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis kontinjen Johor telah mengadakan mesyuarat koordinasi antara agensi bagi penyelarasan tindakan menghadapi MTL, dengan memberi tumpuan kepada 337 kawasan titik panas berisiko banjir yang telah dikenal pasti.
Ab Rahaman berkata pihaknya sentiasa memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (Markas 7 Briged), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor juga telah mengenal pasti 1,072 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri, dengan kapasiti 265,599 mangsa.
"Sehubungan dengan itu, semua ketua polis daerah dan formasi berkaitan telah diingatkan supaya sentiasa memantau perkembangan situasi di kawasan masing-masing bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya.
Musim monsun yang dijangka berterusan hingga Mac 2027 itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, banjir serta keadaan laut bergelora yang boleh mengancam keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko.
Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November 2026 hingga Januari 2027.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Trump Beri Bayangan Tidak Sokong Calon Republikan Pada Pilihan Raya Presiden 2028
- Ribut Petir Diramal Landa Lima Negeri Hingga 3 Petang - MetMalaysia
- GPS Siap Siaga Hadapi PRN Sarawak - Fadillah
- Proses Pengundian Pilihan Raya Umum New Zealand Bermula
- Kerajaan Teliti Implikasi Perkembangan Politik AS Terhadap Malaysia - Anwar