Berita
MOTS Mohon Tambahan Penerbangan, Perjalanan Bas Ekspres Menjelang PRN Sarawak
KUCHING, 27 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) telah menghantar surat kepada syarikat penerbangan dan pengendali bas ekspres bagi meneroka kemungkinan menyediakan perkhidmatan tambahan sebelum dan selepas hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
MOTS dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bertujuan membantu rakyat Sarawak pulang ke kawasan pilihan raya masing-masing yang didaftarkan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Menurut kenyataan itu, kementerian menyedari bahawa ramai rakyat Sarawak bekerja di beberapa negeri di Semenanjung, selain di Singapura dan Sabah, dan mungkin menghadapi kesukaran mengatur perjalanan pulang ketika permintaan perjalanan meningkat.
“Bagi perjalanan udara, MOTS meminta syarikat penerbangan merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan pada minggu sebelum dan minggu selepas hari pengundian bagi menampung keperluan pengundi yang pulang mengundi serta perjalanan mereka kembali selepas itu.
“Bagi perkhidmatan bas ekspres, MOTS menyarankan dan menggalakkan pengendali di Sarawak supaya meningkatkan kekerapan perjalanan buat sementara waktu, bermula tiga hari sebelum hingga tiga hari selepas hari pengundian,” menurut MOTS.
MOTS turut menggalakkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan merujuk saluran rasmi pengendali bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai jadual perjalanan, tambang dan tempahan.
Pada 23 Okt lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 26 Okt, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sarawak ke-13.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Pernah Catat Jualan 5,000 Cawan Untuk Tempoh Tiga Hari, Kopi Royale Johor Sasar Buka Kafe
- Trump Tawar Ganjaran US$1 Juta Bagi Maklumat Penipuan Pilihan Raya
- Calon Presiden Brazil Yang Tewas Dakwa Dilarang Keluar Negara
- Program Kemasyarakatan Mahasiswa Bukan Hanya Pada Musim Pilihan Raya
- Malaysia Berada Pada Kedudukan Baik Sebagai Hab Pusat Data Serantau - Moody’s Ratings