Berita
Program Kemasyarakatan Mahasiswa Bukan Hanya Pada Musim Pilihan Raya
MELAKA, 26 Okt (Bernama) -- Program khidmat masyarakat melibatkan mahasiswa universiti awam perlu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti berterusan institusi pengajian tinggi dan bukan hanya ketika musim pilihan raya, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata program berkenaan merupakan antara usaha universiti untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehidupan masyarakat di luar kampus yang dilaksanakan mengikut kesesuaian masa pengajian, selain membolehkan mereka memahami isu dan cabaran dihadapi rakyat.
“Program kemasyarakatan ini ada musimnya, khususnya selepas mereka menghadapi peperiksaan atau pada peringkat awal pengajian. Ini satu daripada tugas yang dilaksanakan dalam dunia pendidikan tinggi kita.
“Kita tidak mahu anak-anak berada di kampus semata-mata, berkawan dalam kalangan mereka sahaja, sebaliknya kita mahu mereka keluar berinteraksi, berjumpa dengan masyarakat, mengetahui tentang hal ehwal masyarakat, memahami masalah rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup KPT SISWA UTeM Prihatin @ Melaka 2026 di Masjid Al Wathoni Bukit Pegoh, Telok Mas di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Massila Kamalrudin.
Zambry berkata mahasiswa perlu diberi peluang berinteraksi secara langsung dengan masyarakat supaya pengalaman yang diperoleh dapat melengkapkan pembelajaran mereka di universiti.
Beliau berkata pengalaman berada bersama-sama masyarakat turut membolehkan mahasiswa memahami kehidupan harian penduduk, termasuk nilai kebersamaan, amalan gotong-royong dan semangat kejiranan.
"Di sinilah mereka akan belajar mengamalkan sikap rendah diri dan sentiasa bersedia mendengar pandangan orang lain, khususnya ketika berhadapan dengan masalah masyarakat.
"Ciri ini penting dalam membentuk kepimpinan yang mampu memahami keperluan rakyat dan mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi mereka, sekali gus melahirkan graduan yang lebih matang, memahami realiti kehidupan serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Terdahulu, sebanyak 120 mahasiswa UTeM menyertai program sehari berkonsepkan kesukarelawan dengan pelaksanaan beberapa aktiviti bersama lebih 300 penduduk kampung, antaranya pemeriksaan kesihatan, gotong royong dan rewang.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- MOTS Mohon Tambahan Penerbangan, Perjalanan Bas Ekspres Menjelang PRN Sarawak
- Pernah Catat Jualan 5,000 Cawan Untuk Tempoh Tiga Hari, Kopi Royale Johor Sasar Buka Kafe
- Trump Tawar Ganjaran US$1 Juta Bagi Maklumat Penipuan Pilihan Raya
- Calon Presiden Brazil Yang Tewas Dakwa Dilarang Keluar Negara
- Malaysia Berada Pada Kedudukan Baik Sebagai Hab Pusat Data Serantau - Moody’s Ratings