Berita
ZTPP Akan Diperluas Ke Kawasan Ekopelancongan Di Seluruh Johor
ISKANDAR PUTERI, 24 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memperluas pelaksanaan Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) ke kawasan ekopelancongan di seluruh negeri itu selepas Kampung Sungai Melayu di sini dipilih sebagai lokasi pertama inisiatif berkenaan.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata peluasan ZTPP itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil pendekatan yang sama seperti di Kampung Sungai Melayu, khususnya dalam aspek pematuhan perundangan, penandaan harga, kebersihan, keselamatan serta perlindungan kepentingan pengguna dan pelancong.
"Ini merupakan titik tolak kepada permulaan ZTPP di Johor dan kita harapkan zon ini terus diperluas ke kawasan tumpuan pelancongan lain … kawasan lain boleh mengikuti pendekatan yang dilaksanakan di Kampung Sungai Melayu ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian ZTPP Peringkat Negeri Johor di Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
Lilis Saslinda berkata pelaksanaan ZTPP ialah kesinambungan daripada Program Pasar Patuh yang sebelum ini dilaksanakan KPDN Johor di lapan lokasi pasar awam di seluruh negeri.
Beliau berkata pendekatan advokasi, pendidikan dan kerjasama bersepadu menerusi program itu kini diperluas ke kawasan pelancongan bagi memastikan pengusaha dan peniaga memahami serta mematuhi peraturan ditetapkan.
"Langkah ini juga menjadi satu nilai tambah yang memberikan keyakinan dan reputasi yang baik kepada Johor sebagai destinasi pelancongan, sekali gus menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata antara perkara yang diberi penekanan ialah kewajipan mempamerkan harga barangan dan perkhidmatan dengan jelas, termasuk harga tiket bagi aktiviti ekopelancongan.
KPDN, katanya, turut menyediakan Tanda Harga PATUH kepada peniaga di kawasan ZTPP bagi membantu memastikan harga dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat pengguna.
Sementara itu, Pandak berkata peluasan ZTPP ke kawasan ekopelancongan lain di Johor dapat membantu memastikan pengurusan destinasi pelancongan dilaksanakan secara lebih telus dan memberikan keyakinan kepada pelancong.
Pengerusi Koperasi Penduduk Kampung Sungai Melayu Johor Bahru Berhad itu berkata pihaknya mengalu-alukan pelaksanaan ZTPP di Kampung Sungai Melayu sebagai langkah pertama sebelum diperluas ke destinasi lain.
KPDN memberikan tumpuan pada kawasan pelancongan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancongan PATUH bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang, khususnya berkaitan harga dan urus niaga.
Sebagai permulaan, sebanyak 16 kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara dipilih untuk projek rintis ZTPP tahun ini, antaranya Wet World Pedas di Negeri Sembilan, kawasan pelancongan Melaka dan Johor.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Mersing Bantu Seimbang Pembangunan Dan Konservasi Johor - Hasni
- Pilihan Raya Legislatif: Hampir 3 Juta Rakyat Palestin Layak Mengundi
- YSIJ Perkukuh Usaha Kebajikan Menerusi Pesta Hari Keluarga Johor
- Rakyat Rusia Di Malaysia Keluar Mengundi Dalam Pilihan Raya State Duma
- Gabenor California Tandatangan 13 Rang Undang-undang, Lindungi Pilihan Raya Dari Campur Tangan Persekutuan