Berita

Kemaskini: 24/09/2026 11:02 AM

Mersing Bantu Seimbang Pembangunan Dan Konservasi Johor - Hasni

MERSING, 24 Sept (Bernama) -- Peranan Mersing sebagai kawasan pemuliharaan khazanah alam semula jadi menjadi pengimbang kepada pembangunan pesat di beberapa daerah lain di Johor, sekali gus membantu negeri itu menarik lebih ramai pelabur antarabangsa.

Pengerusi Johor Sustainability Centre Datuk Seri Hasni Mohammad berkata keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar penting dalam mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan.

Hasni berkata ketika Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Kulai pesat dengan pembangunan, termasuk sebagai pusat data serta tumpuan sektor perindustrian, Mersing dan Kota Tinggi pula memainkan peranan penting dalam usaha konservasi.

“Di Johor Bahru rancak dengan pelbagai pembangunan, manakala di Mersing dan Kota Tinggi kita jalankan aktiviti konservasi.

“Jadi kita mempunyai keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan yang dapat memenuhi keperluan untuk menarik pelabur,” katanya pada perasmian Mersing International Conservation Day 2026 di Mersing Harbour Centre di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Sustainability Centre Syed Norul Shahril Syed Nasir. 

Hasni yang juga Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor berkata aspek kelestarian kini menjadi antara pertimbangan penting syarikat antarabangsa sebelum membuat keputusan pelaburan termasuk bagi sektor pusat data.

Beliau berkata pengendali pusat data bukan sahaja perlu memastikan operasi mereka mesra alam, malah perlu membuktikan kepada pelanggan serta pelabur bahawa syarikat berkenaan mematuhi piawaian dan keperluan kelestarian antarabangsa.

“Pelabur mahukan negeri atau negara yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan operasi perniagaan mereka tetapi turut memenuhi syarat antarabangsa berkaitan pelaburan dan alam sekitar,” katanya.

Hasni berkata kejayaan Johor menarik pelaburan RM110 bilion pada 2025 menunjukkan pentingnya negeri itu terus memenuhi kehendak pelabur antarabangsa termasuk dalam aspek kelestarian.

Sehubungan itu, beliau berkata limpahan manfaat daripada pelaburan di kawasan pesat membangun seperti Johor Bahru juga perlu dinikmati masyarakat Mersing kerana daerah berkenaan turut memainkan peranan dalam membentuk ekosistem pembangunan Johor yang seimbang.

Mersing International Conservation Day 2026 merupakan program di bawah gerak kerja Sustainable Travel Mersing Destination Coordination Group dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam semula jadi dan kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA