Berita

Kemaskini: 26/08/2026 09:53 PM

Raja Permaisuri Agong Terima Menghadap Mufti Johor, Ketua Pengarah Arkib Negara

Kredit: Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menerima menghadap Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor di Istana Negara hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah dipersembah maklum mengenai perancangan Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor dan Pelancaran Buku Bibliografi Mufti-Mufti Negeri Johor.

“Ia sebagai pendedahan kepada masyarakat berkenaan sejarah dan peranan institusi agama Islam di negeri Johor serta merungkai gaya pemikiran, sumbangan dan pencapaian Mufti-Mufti Johor seawal tahun 1896,” menurut hantaran itu.

Kredit: Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Menurut hantaran itu, Yahya turut mempersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong mengenai perkembangan pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Johor Baharu, yang bakal diterapkan dengan seni bina Islam Asia Tengah bersumberkan inspirasi seni Uzbekistan.

Pada 5 Mac lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan dipersembahkan taklimat terkini mengenai laporan kemajuan kerja-kerja pembinaan Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil. 

Masjid berkenaan dibina hasil wang peninggalan anakanda Seri Paduka Baginda Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang mangkat pada 5 Dis 2015.

Kredit: Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Masjid yang dibina di Jalan Kolam Air berhampiran Istana Bukit Serene itu mampu memuatkan hampir 1,000 jemaah dalam satu masa.

-- BERNAMA