Berita
406 Peniaga Di Johor Terlibat Pasar Patuh KPDN Di Lapan Pasar Awam Terpilih
MERSING, 26 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 406 peniaga di Johor terlibat dalam Program Pasar Patuh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di lapan pasar awam terpilih bagi memperkukuh agenda pematuhan peniaga serta perlindungan terhadap pengguna.
KPDN Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu merupakan pendekatan advokasi dan kerjasama bersepadu selain mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil, beretika dan mesra pengguna.
"Pendekatan itu bukan sekadar memastikan peniaga mematuhi peraturan, malah menggalakkan amalan tersebut dijadikan sebahagian daripada budaya perniagaan," menurut kenyataan itu.
Menurut KPDN, konsep PATUH berteraskan lima prinsip utama sebagai panduan kepada peniaga dalam urus niaga secara bertanggungjawab iaitu penandaan harga yang jelas, alat timbang telah ditentusahkan, transaksi jelas dan telus, urus niaga yang jujur, serta harga berpatutan dan tiada unsur pencatutan.
Pelancaran Pasar PATUH 2026 peringkat negeri dilaksanakan di Pasar Awam Mersing hari ini, manakala tujuh lokasi lain ialah Pasar Awam Taman Perling, Pasar Awam Kluang, Pasar Maharani, Pasar Awam Batu Pahat, Pasar Kota Jaya, Pasar Awam Pontian dan Pasar Awam Labis.
Pelaksanaan program itu juga mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd dan De Metrology Sdn Bhd sebagai agensi serta rakan strategik, dalam memastikan aspek pematuhan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
"Kerjasama ini memperlihatkan komitmen bersama dalam membentuk ekosistem perdagangan lebih teratur di samping meningkatkan kesedaran peniaga," menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, pengguna diseru menyalurkan aduan sekiranya berlaku pelanggaran peraturan menerusi saluran rasmi KPDN di aplikasi Whatsapp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN iaitu e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- ADUN Buloh Kasap Zahari Sarip Dilantik Speaker DUN Johor
- Raja Permaisuri Agong Terima Menghadap Mufti Johor, Ketua Pengarah Arkib Negara
- Johor Raih Emas Sulung Bola Sepak Lelaki SUKMA
- SUKMA 2026: Trio Recurve Wanita Johor Cipta Kejutan Raih Emas
- Johor Berjaya Tarik Potensi Pelaburan Bernilai Lebih RM5 Bilion Di Singapura