Berita
Belum Masa Adakan PRU16, Beri Peluang Dasar Ekonomi Tunjuk Hasil - Hassan Karim
JOHOR BAHRU, 2 Ogos (Bernama) -- Belum tiba masanya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya Kerajaan MADANI perlu meneruskan pentadbiran sehingga melengkapkan tempoh mandat semasa.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tergesa-gesa membubarkan Parlimen selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri.
Menerusi hantaran bertajuk “DON'T CRY PKR, Dunia Belum Kiamat” di Facebook hari ini, beliau berpendapat PKR perlu mengambil masa menilai keputusan pilihan raya dan menyusun semula strategi bagi menghadapi PRU16.
“Berehatlah kamu wahai PKR untuk beberapa hari setelah letih berkempen. Kemudian kita susun strategi baik-baik untuk menghadapi PRU16.
“Yakinkan pemimpin kita, Anwar Ibrahim supaya jangan mudah melatah. Beritahu Anwar supaya jangan adakan PRU16 dalam waktu terdekat ini. Beri semangat kepada Anwar supaya tadbir kerajaan pusat baik-baik sehingga tempoh mandat penuh, iaitu akhir 2027 atau awal 2028,” katanya.
Hassan berkata dari sudut strategi politik, kerajaan wajar menamatkan penggal pentadbiran sehingga penghujung 2027 atau awal 2028 bagi memberi peluang kepada dasar-dasar ekonomi kerajaan menunjukkan hasil kepada rakyat.
Menurut Hassan, mengadakan PRU16 dalam tempoh terdekat berisiko dipengaruhi sentimen susulan kekalahan PKR di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus boleh menjejaskan peluang parti itu serta Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, beliau berkata tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negara, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Hassan berkata apabila rakyat mula merasai manfaat dasar ekonomi dan melihat keadaan ekonomi negara berada pada landasan yang lebih kukuh, ketika itulah pembubaran Parlimen boleh dipertimbangkan.
Beliau turut mengingatkan anggota dan penyokong PKR supaya tidak berputus asa dengan keputusan pilihan raya baru-baru ini, sebaliknya terus menyusun strategi bagi menghadapi PRU16.
“Jadi, jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Malu jika menangis. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang!,” katanya.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- DAP Johor Sokong Anthony Loke Terus Pimpin Parti
- Inisiatif Kerajaan Negeri Johor, JAKOA Perkasa Pembangunan Masyarakat Orang Asli
- Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan
- PH Ambil Tanggungjawab Kolektif Selepas Kalah Di Negeri Sembilan
- Polis Giat Kesan Pemandu e-hailing Bantu Siasatan Video Hina Islam