Berita
Inisiatif Kerajaan Negeri Johor, JAKOA Perkasa Pembangunan Masyarakat Orang Asli
MERSING, 2 Ogos (Bernama) -- Pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Johor bersama-sama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam memperkasakan kepimpinan serta pembangunan masyarakat Orang Asli terus memberi manfaat kepada komuniti itu termasuk di Kampung Orang Asli Labong di sini.
Tok Batin Kampung Orang Asli Labong, Mabot Sela, 80, berkata inisiatif seperti latihan kepimpinan dan kenaikan elaun telah membantunya melaksanakan tanggungjawab sebagai penghubung antara penduduk dengan agensi kerajaan.
“Sepanjang memikul tanggungjawab ini, saya sentiasa komited untuk memastikan kebajikan dan keperluan mereka (penduduk Orang Asli) mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan serta agensi berkaitan,” katanya kepada Bernama.
Mabot yang dilantik sebagai Tok Batin pada 1990 kini memimpin kira-kira 500 penduduk suku Jakun terdiri daripada 136 keluarga melibatkan 99 rumah di kampung berkenaan.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Mabot berkata dia diberi peluang mengikuti kursus kepimpinan anjuran JAKOA bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam memperkukuh tadbir urus hal ehwal komuniti.
“Kami (Tok Batin) diberi pendedahan mengenai tatacara menguruskan kampung secara lebih sistematik dan melancarkan penyampaian bantuan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan,” kata bapa kepada empat anak itu.
Dalam pada itu, Mabot menyambut baik inisiatif kerajaan negeri menaikkan elaun ketua kampung dan Tok Batin Orang Asli daripada RM1,200 kepada RM1,500 bermula Januari lepas dengan tambahan peruntukan RM2.6 juta.
Peningkatan elaun itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan hariannya termasuk keperluan kesihatan, khususnya pembelian ubat-ubatan.
Tok batin merupakan ketua masyarakat dan ketua adat bagi perkampungan Orang Asli yang berperanan sebagai penghubung antara komuniti itu dengan kerajaan dalam menyelaras keperluan serta pembangunan di peringkat kampung.
Mabot berkata antara aduan yang sering diterima daripada penduduk ialah kehadiran gajah liar yang menyebabkan kemusnahan hasil tanaman selain isu lembu berkeliaran yang boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya.
Seorang wanita warga emas yang juga penduduk kampung itu, Sekoi Janja, 68, berkata pembangunan masyarakat Orang Asli perlu diteruskan agar perubahan positif yang dinikmati hari ini dapat dirasai generasi akan datang.
“Dulu kehidupan kami banyak bergantung kepada apa yang ada di sekeliling tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Oleh itu, saya berharap golongan muda dapat membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Peniaga, Norma Lonchai, 44, pula berharap lebih banyak program yang memberi peluang kepada masyarakat Orang Asli meningkatkan kemahiran serta pendapatan dapat diteruskan.
Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM3.8 juta bagi melaksanakan sembilan inisiatif demi memperkasakan dan menjaga kebajikan lebih 18,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Selain itu, pelbagai bantuan melibatkan aspek kebajikan, pendidikan, kemudahan infrastruktur dan pembangunan komuniti juga diluluskan bagi memastikan masyarakat Orang Asli terus menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh dan inklusif.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- DAP Johor Sokong Anthony Loke Terus Pimpin Parti
- Belum Masa Adakan PRU16, Beri Peluang Dasar Ekonomi Tunjuk Hasil - Hassan Karim
- Tiga Calon Wanita Menang Kerusi DUN Negeri Sembilan
- PH Ambil Tanggungjawab Kolektif Selepas Kalah Di Negeri Sembilan
- Polis Giat Kesan Pemandu e-hailing Bantu Siasatan Video Hina Islam