Berita
PSM Pertaruh Calon Tunggal Pada PRN Johor
JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan calon tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menamakan Amir Syafiq Ameer Soekre untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai.
Timbalan Pengerusi PSM S. Arutcelvan berkata keputusan parti mengetengahkan calon tunggal pada PRN Johor bagi memberikan tumpuan di kawasan berpotensi memberi impak kepada perjuangan parti di samping mengambil kira kos pilihan raya yang tinggi.
“Pilihan raya ini mahal dan kebiasaannya hanya parti besar mempunyai sumber mencukupi. Jadi PSM memilih untuk bertanding di kawasan strategik yang boleh memberi impak terbaik kepada parti,” katanya pada sidang media calon PSM sempena PRN Johor di sini hari ini.
Beliau berkata DUN Skudai dipilih kerana ia kawasan bandar yang berdepan pelbagai isu melibatkan golongan pekerja dan perumahan, selain selari dengan agenda PSM membawa suara masyarakat.
Amir Syafiq, 40, yang merupakan Setiausaha PSM Johor dan aktivis hak pekerja mempunyai pengalaman 15 tahun dalam bidang jualan dan pemasaran serta berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dari Teesside University, United Kingdom.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Tubir Selatan: Kerajaan Johor Perlu Diberi Taklimat Berkala - ADUN
- Kemudahan Kesihatan Awam Johor Perlu Seiring Pembangunan, Pertambahan Penduduk
- Jajaran e-ART Perlu Libat Iskandar Puteri, Sokong Agenda JS-SEZ - ADUN Kota Iskandar
- Johor Wajar Laksana DLP, Perkasa Bahasa Inggeris Di Sekolah Seiring JS-SEZ - Maszlee
- JS-SEZ: Kerajaan Negeri Perkukuh Rantaian Bekalan, Bawa Limpahan Ekonomi Ke Johor Utara