Berita

Kemaskini: 24/11/2026 07:34 PM

Kemudahan Kesihatan Awam Johor Perlu Seiring Pembangunan, Pertambahan Penduduk

Kredit Pejabat ADUN Tiram

ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Pembangunan kemudahan kesihatan awam di Johor perlu dipergiat seiring dengan kepesatan pembangunan perumahan dan pertambahan penduduk bagi memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Datuk Abdul Halim Suleiman (BN-Tiram) berkata kerajaan negeri perlu menjadikan cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Kota Masai sebagai agenda keutamaan dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata meskipun pembinaan dan pengoperasian klinik kesihatan kerajaan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri boleh membantu menerusi urusan tanah, perancangan dan penyelarasan antara agensi.

“Bagi warga emas tanpa kenderaan, ibu mengandung, pesakit diabetes dan darah tinggi serta keluarga berpendapatan rendah, perjalanan jauh dan masa menunggu rawatan boleh menjadi beban yang besar.

“Kemudahan kesihatan bukan sekadar bangunan. Ia soal akses rakyat kepada rawatan yang mudah, cepat dan berkualiti,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Abdul Halim berkata kerajaan negeri diminta memperincikan status terkini cadangan pembinaan klinik berkenaan termasuk pengenalpastian tapak, urusan tanah serta permohonan projek kepada KKM.

Sementara itu, Wong Bor Yang (PH-Senai) menggesa kerajaan negeri membantu mempercepat permohonan pembinaan bangunan tambahan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai yang kini hanya mempunyai kapasiti 93 katil.

Beliau berkata jumlah penduduk daerah Kulai meningkat daripada 330,000 orang pada 2020 kepada kira-kira 380,000 orang pada 2025 dan dijangka mencecah 500,000 orang menjelang 2035.

Katanya, kadar penggunaan katil hospital berkenaan mencecah 88.93 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, malah pernah mencapai 96.8 peratus pada Ogos, iaitu kedua tertinggi di Johor selepas Hospital Sultan Ismail.

“Ruang wad yang tidak mencukupi dan tidak dapat menampung bilangan pesakit yang tinggi telah menyebabkan pesakit diletakkan di ruangan yang tidak sesuai bagi pemantauan atau semasa menunggu mendapatkan katil di wad, seperti berhampiran kawasan kaunter,” katanya.

Wong berkata ketiadaan Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) turut menyebabkan pesakit kritikal terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Beliau berkata HTSMTI juga hanya mempunyai lima ambulans dan 14 pemandu ambulans, dengan sekurang-kurangnya dua ambulans serta tiga pemandu tambahan diperlukan segera bagi memenuhi keperluan operasi harian.

– BERNAMA