Berita
Operasi Selamatkan Pendaki Croatia Antara SAR Ekstrem Pasukan Penyelamat Sabah
KOTA KINABALU, 3 Okt (Bernama) -- Operasi menyelamatkan pendaki warga Croatia, Mauro Persic selama lima hari yang terjatuh ke dalam jurang di Gunung Kinabalu pada ketinggian 3,700 meter dari aras laut, adalah antara usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang ekstrem dilakukan pasukan penyelamat di Sabah.
Dalam kejadian pada 6 Sept lepas, pasukan penyelamat mendapat maklumat bahawa Persic, 46, menceroboh Gunung Kinabalu menggunakan laluan tidak sah menerusi Sungai Mesilou tanpa permit sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan pada kaki kanan, tulang rusuk kanan serta tangan.
Menceritakan cabaran getir itu, Timbalan Penguasa Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Faizal Wahid berkata operasi menyelamatkan mangsa pada ketinggian 3,700 meter dari aras laut berdepan dengan cabaran ekstrem kerana kedudukannya berada di luar laluan pendakian rasmi.
Ketua Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) negeri itu berkata lokasi mangsa dikesan kira-kira 150 meter dari kedudukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), namun memerlukan anggota melalui laluan Bowen yang curam, bertebing tinggi, bertangga, licin serta mempunyai batu longgar.
“Risiko kemalangan boleh berlaku secara tiba-tiba, terutama apabila melalui kawasan batu longgar dan licin, sebab itu anggota perlu menggunakan tali keselamatan sebagai aspek keselamatan kedua ketika mendaki atau menuruni kawasan cerun dan tebing yang berisiko,” katanya kepada Bernama.
Mohd Faizal berkata pasukan penyelamat menggunakan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) secara luar talian bagi mengesahkan kedudukan mangsa, selain berkomunikasi menerusi telefon serta aplikasi WhatsApp berikutan gangguan semboyan di sesetengah kawasan.
Beliau berkata operasi SAR dimulakan sejurus maklumat orang hilang diterima menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp STORM Sabah pada 8.30 malam, 6 Sept sebelum keanggotaan STORM diaktifkan secara serta-merta.
Pada 7 Sept, sebanyak 16 anggota STORM melapor diri di Taman-Taman Sabah untuk menerima taklimat keselamatan sebelum memulakan pendakian dari Timpohon Gate dan tiba di pos kawalan bomba di Gunting Lagadan pada 6 petang.
Seawal 5 pagi pada 8 Sept, 11 anggota STORM bersama dengan dua renjer Park SAR dan seorang malim gunung bergerak melalui laluan Bowen sejauh tiga kilometer dari Gunting Lagadan, namun empat daripada mereka terpaksa menghentikan pendakian akibat mengalami penyakit altitud akut.
Pasukan SAR yang meneruskan perjalanan berjaya melihat mangsa pada 10.40 pagi dan cuba merapatinya menggunakan teknik tali pada 3 petang, namun operasi terpaksa ditangguhkan pukul 4 petang berikutan hujan lebat, angin kencang serta kabus tebal.
Keadaan cuaca buruk itu memaksa anggota SAR bermalam di kawasan berbatu terbuka dalam keadaan pakaian lembap dengan hanya berbumbungkan langit dan berlantaikan batu serta menjadikan plastik sampah sebagai pelindung badan.
Operasi yang disambung pada 7 pagi, 9 Sept membolehkan anggota STORM mendapatkan Persic pada 8.24 pagi, sebelum mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan, tulang rusuk kanan serta luka pada tangan diberi rawatan awal.
Pasukan penyelamat kemudian menggunakan peralatan tali kernmantle static sepanjang 150 meter, sked stretcher dan sistem hauling bagi menaikkan mangsa ke kawasan selamat pada 7 malam.
Mangsa seterusnya dibawa turun pada 8 pagi, 10 Sept menerusi laluan Bowen ke Timpohon Gate sejauh 5.5 kilometer menggunakan kaedah body harness carrier dan piggy back carry, sebelum tiba di Timpohon Gate pada 7.06 malam untuk dihantar ke Hospital Ranau.
Mohd Faizal berkata operasi selama lima hari itu amat mencabar berbanding pengalaman lepas kerana anggota terpaksa mencatu bekalan makanan selain berdepan kesejukan ekstrem dan kelembapan sepanjang proses penyelamatan.
Beliau berkata kejayaan operasi yang melibatkan 43 anggota termasuk Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOCSAR), porter, renjer, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu disokong oleh kemahiran penyelamatan aras tinggi dan ikhtiar hidup di hutan.
Persic sebelum ini dilaporkan menceroboh kawasan Gunung Kinabalu menerusi laluan tidak sah di Sungai Mesilou tanpa permit sebelum terjatuh, dan telah dikenakan kompaun maksimum RM25,000 oleh pihak berkuasa atas kesalahan menceroboh.
-- BERNAMA